Ronaldo tolak tawaran Arab Saudi
LONDON: Cristiano Ronaldo dilaporkan menolak tawaran berjuta ringgit untuk memperomosikan produk pelancongan Arab Saudi.
Perjanjian bernilai 6 juta euro (RM29.53 juta) setahun difahamkan akan dibayar supaya Ronaldo membuat kunjungan ke negara berkenaan dan imej bintang itu digunakan sebagai bahan promosi.
Pencabar utama Ronaldo, Lionel Messi juga dimahukan pihak berkuasa Arab Saudi tetapi masih belum diketahui mengenai pandangan pemain itu.
Kedua-dua wakil Ronaldo dan Messi enggan mengulas lanjut ketika ditanya The Telegraph.
Awal minggu ini, Ronaldo menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak apabila Juventus menewaskan Napoli untuk menang Piala Super manakala Messi menang enam kali anugerah Pemain Terbaik Dunia.
Arab Saudi menyasarkan untuk menjadi hab pelancongan menarik menerusi kempen ‘Visit Saudi’ dengan reputasi negara berkenaan terancam berikutan rekod hak kemanusiaan selain penerbangan ke negara berkenaan terhad berikutan COVID-19 dan iklan Visit Saudi yang menyatakan pelancong perlu memohon visa.
Imej global dua pemain paling berjaya di dunia itu boleh menambah kesan terhadap kempen berkenaan namun mana-mana atlet yang membuat perjanjian dengan negara berkenaan boleh berdepan kecaman teruk.
Arab Saudi menggunakan sukan sebagai alat mempromosikan negara berkenaan dan pernah menganjurkan Piala Super Sepanyol di Jeddah Januari lalu ketika Barcelona bersaing merebut trofi berkenaan bersama Real Madrid, Atletico Madrid dan Valencia. – Agensi
You must be logged in to post a comment.