Ancaman asap rokok kepada kanak-kanak autisme

 

PENDEDAHAN nikotin daripada asap rokok boleh menjejaskan perkembangan saraf otak termasuk berisiko kepada kejadian autisme dalam kalangan kanak-kanak.

Banyak kajian menunjukkan pendedahan kepada asap rokok mempunyai hubung kait dengan risiko kejadian autisme pada bayi dan kanak-kanak.

Pensyarah Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Zaleha Md Isa berkata, autisme merujuk kepada ketidakseimbangan perkembangan saraf kompleks yang mempengaruhi keupayaan interaksi sosial dan komunikasi individu serta mempunyai tingkah laku berulang.

Katanya, keadaan itu berlaku sepanjang hayat dan autisme terjadi dalam bentuk spektrum, iaitu sebahagian individu mengalaminya di peringkat ringan, sederhana dan teruk.

Bukti saintifik terkini mencadangkan ada pelbagai faktor membuatkan kanak-kanak cenderung mengalami autisme, di mana interaksi di antara faktor persekitaran dan genetik dijangka memainkan peranan utama.

“Faktor persekitaran berkaitan dengan autisme termasuk pendedahan kepada bahan kimia seperti logam plumbum, raksa, cat, dan racun perosak organoklorin.

“Autisme biasanya muncul di peringkat awal kanak-kanak sebelum mereka mencapai usia tiga tahun dan boleh dikenal pasti seawal umur 18 bulan.

“Ada kajian di Malaysia menunjukkan pendedahan asap rokok menurunkan perkembangan saraf kanak-kanak pada umur dua tahun,” katanya.

Pendedahan asap rokok jejas saraf otak

Dr Zaleha berkata, faktor risiko persekitaran, misalnya pendedahan kepada asap rokok menarik minat ramai penyelidik untuk mengkaji lebih lanjut berkaitan hubungannya dengan autisme.

 

Risiko kejadian autisme boleh dikurangkan dengan mengelak punca pendedahan kanak-kanak dan  ibu hamil kepada faktor persekitaran khususnya asap rokok. - Foto hiasan
Risiko kejadian autisme boleh dikurangkan dengan mengelak punca pendedahan kanak-kanak dan ibu hamil kepada faktor persekitaran khususnya asap rokok. – Foto hiasan

 

“Pendedahan campuran kompleks gas dan partikel dihembus oleh perokok atau asap daripada pembakaran produk tembakau seperti rokok, cerut, atau paip dikenali sebagai asap rokok sekunder atau asap tembakau persekitaran, umpamanya boleh menjejaskan perkembangan otak golongan itu.

“Asap rokok sekunder boleh berlaku seawal peringkat kehamilan dan di mana-mana saja seperti di rumah atau di tempat awam.

“Kanak-kanak lebih terdedah kepada asap rokok di rumah, iaitu mereka yang tinggal dengan perokok seperti bapa atau anak lelaki dewasa yang merokok.

“Kajian di Malaysia menunjukkan 44.7 peratus kanak-kanak terdedah kepada asap rokok sekunder di rumah,” katanya.

Menurunkan skor IQ

Tahukah anda antara ribuan bahan kimia di dalam asap rokok, nikotin adalah bahan kimia paling cenderung memberi kesan buruk kepada perkembangan otak.

Kesannya dijangka berlaku melalui tindakannya pada reseptor asetilkolin nikotinik menjadi perantara kepada perubahan struktur saraf.

“Perubahan boleh menyebabkan ketidakseimbangan kognitif, tingkah laku dan perkembangan, serta menurunkan skor ‘Intelligence Quoteint’ (IQ),” katanya.

Banyak kajian cuba mengenal pasti hubungan di antara ibu yang merokok semasa hamil dan risiko kejadian autisme pada anak.

Kata, kajian menunjukkan pendedahan awal kepada asap rokok boleh mengakibatkan perkembangan saraf yang teruk kepada kanak-kanak.

“Ini adalah kerana, pendedahan kepada asap rokok lebih berbahaya kepada otak yang sedang berkembang berbanding pendedahan di dalam rahim kerana dos pendedahan kepada asap rokok persekitaran adalah lebih tinggi berbanding dos pendedahan di dalam rahim.

“Pendedahan asap rokok dalam tempoh lama ketika kanak-kanak berbanding ketika janin adalah faktor kritikal yang memberi kesan ke atas perkembangan saraf,” katanya.

Risiko kepada autisme

Penerangan biologi ini disokong oleh uji kaji di dalam haiwan dan perkembangan otak tikus berubah sewaktu pendedahan asap rokok selepas lahir tetapi tidak berubah sebelum lahir.

Pendedahan asap dengan kanak-kanak autisme memerlukan kajian lanjut.

Bagaimanakah risiko kejadian autisme boleh dikurangkan dengan mengelak punca pendedahan kanak-kanak dan ibu hamil kepada faktor persekitaran berkaitan dengan kejadian autisme, khususnya asap rokok.

“Kementerian Kesihatan sudah melaksanakan dua program utama, iaitu aktiviti pencegahan bertujuan mencegah golongan bukan perokok terdedah kepada asap rokok. Selain itu, aktiviti pemulihan dan penguatkuasaan bagi memastikan sekurang-kurangnya 130,000 perokok berhenti merokok setiap tahun,” katanya.

Bagi memastikan pengurangan tempoh dan kekerapan pendedahan asap rokok sekunder dalam kalangan kanak-kanak terutamanya di rumah, strategi yang boleh dilakukan adalah dengan melaksanakan polisi larangan merokok di rumah atau rumah bebas asap rokok.

Polisi larangan merokok boleh dilaksanakan di dalam kenderaan awam, kereta persendirian dan juga tempat awam yang diwartakan.

“Pengurangan pendedahan asap rokok ini bukan sahaja boleh mengurangkan masalah ketidakseimbangan perkembangan otak kanak-kanak, malah ia juga boleh mengurangkan risiko pelbagai penyakit lain seperti penyakit kardiovaskular, pernafasan dan kanser,” katanya.

Meskipun kejadian autisme berbeza meskipun tiada data rasmi individu didiagnosa sebagai autisme di negara ini, namun di peringkat global, dianggarkan satu daripada 160 kanak-kanak mengalami autisme.

Punca autisme tidak jelas. Kanak-kanak lelaki empat kali ganda lebih cenderung mengalami autisme berbanding kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata, kadar kejadian autisme di peringkat global meningkat dengan mendadak pada dekad ini.

“Justeru, ia merisaukan orang ramai dan ada peningkatan bilangan kajian serta pemantauan ke atas kejadian autisme,” katanya.

Leave a Reply