Pemimpin Armada ditangkap miliki ganja dalam jumlah besar
Seorang tokoh Pemuda Bersatu (Armada) telah ditangkap polis pada 20 Jan lalu atas dakwaan memiliki dadah dalam jumlah yang besar.
Perkara itu dimaklumkan oleh sumber dalaman polis yang enggan dinamakan memandangkan ia masih dalam siasatan.
Bercakap dengan Malaysiakini, dia berkata polis merampas 1.5 kilogram daun ganja kering, sembilan pokok ganja, dan sejumlah besar cecai disyaki dengan kandungan dadah jenis itu.
Dia berkata polis bertindak setelah mendapat maklumat awam dan menangkap suspek yang berusia 35 tahun di Fraser Business Park di Kuala Lumpur pada tengah hari Rabu lalu, atas kesalahan memiliki barang terlarang.
Susulan tangkapan, polis menyebu rumah suspek di Ampang, Selangor pada hari sama.
“Ketika pemeriksaan, polis menemui tujuh pokok dan dua anak pokok ganja. Ada beberapa lagi botol yang ditemui yang disyaki mengandungi ekstrak ganja.
“Kami juga menemui daun kering ganja dalam beberapa beg plastik dan bekas,” kata sumber lagi.
Nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM60,000.
Polis turut menahan isteri suspek, 34 tahun, dan seorang warga asing yang disyaki pembantu rumah pasangan itu.
Ketiga-tiganya disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama ahli politik ini kecuali dia telah didakwa, memandangkan dia masih sebagai suspek dan tidak memegang apa-apa jawatan kerajaan.
Suspek juga tidak memegang apa-apa jawatan yang diraih secara undian dalam Bersatu. Dia merupakan ahli lantikan dalam sebuah biro Pemuda Bersatu.
Ketika PRU2018, dia menjadi calon Bersatu di kerusi Parlimen di Perak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan kes ini dan ia di bawah siasatan polis Kuala Lumpur.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin dan sedang menunggu maklum balasnya.
Ini bukan kali pertama seorang tokoh Bersatu disiasat atas kes berkaitan dadah.
Pada Januari tahun lalu, Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah merupakan antara yang ditahan dalam satu serbuan berkaitan dadah di Kuala Lumpur.
Ketika itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada mulanya berkata 16 (daripada 17) yang ditahan di sebuah unit kondominium setelah mereka diuji positif dadah. Dadah jenis ketamine dan ganja turut ditemui di unit tersebut, katanya.
Dua bulan kemudian dan setelah pertukaran kerajaan, pihak berkuasa memaklumkan laporan patologi Adhif mendapati ujian air kencingnya negatif dan Pejabat Peguam Negara mengarahkan semua siasatan diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA). Malaysiakini
You must be logged in to post a comment.