Joe Biden, Cabaran Besar Menanti Anda

Tahniah diucapkan kepada Joe Biden kerana berjaya diangkat sebagai presiden Amerika Syarikat yang baru.

Biden menjadi presiden ke-46, menggantikan Donald Trump yang kalah dalam pilihan raya calon presiden Amerika Syarikat tahun lalu.

Pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada tahun 2020 dilihat sebagai pertandingan paling hangat dalam sejarah negara itu.



Pelantikan Biden bakal membawa banyak perubahan bukan sahaja terhadap pentadbiran Amerika malah di serata dunia.

Sebagai kuasa besar dunia, sudah pasti apa yang berlaku di Amerika bakal membawa kesan kepada seluruh dunia.

Semenjak Donald Trump memegang jawatan presiden pada 2017, banyak dasar keras dilakukannya. Ia bukan sahaja ditujukan terhadap rakyat Amerika malah seluruh dunia.

 



Antara yang menjadi mangsa teruk adalah masyarakat Palestin. Mereka tidak akan dapat lupa apa yang dilakukan oleh Trump terhadap tanah air mereka.

Pada penghujung tahun 2017, Trump mengistiharkan bandar raya Baitulmaqdis sebagai ibu negara mutlak Israel, sekali gus menafikan hak Palestin untuk menubuhkan negara dengan menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Banyak lagi dasar Trump yang terang-terang memihak kepada Israel. Israel seolah-olah menjadi anak emas pentabiran Trump.

Bagaimana pula nasib masyarakat Palestin pada zaman Biden?



Ramai menjangkakan dia akan meneruskan dasar Barack Obama (2009–17) dengan memastikan kewujudan dua buah negara merdeka iaitu Palestin dan Israel yang hidup aman antara satu sama lain.

Persoalan akan timbul, adakah Biden akan menarik kembali segala dasar keras Trump terhadap Palestin termasuk menarik kembali pengiktirafan terhadap status Baitulmaqdis sebagai ibu negara mutlak Israel?

Selain konflik Palestin-Israel, Biden juga bakal mewarisi banyak dasar keras antarabangsa Trump seperti isu pembangunan senjata nuklear Iran, konflik Korea Utara-Korea Selatan, perang perdagangan Amerika Syarikat-China serta isu dengan negara-negara jirannya seperti Mexico dan Kanada.

Penderita gagap Presiden ke-46 Amerika Syarikat



Demi kestabilan dunia

Tidak terkecuali penglibatan Amerika Syarikat dengan badan–badan antarabangsa seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Biden juga perlu melihat kembali penglibatan Amerika terhadap isu alam sekitar yang banyak diabaikan pentadbiran Trump.



Biden perlu melihat kembali penglibatan Amerika Syarikat dalam isu kesihatan global selepas pengunduran negara itu daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beberapa bulan lalu.

Sebelum Biden melihat kembali kepada semua dasar antarabangsa Trump, dia terlebih dahulu perlu menyelesaikan segala masalah dalam negaranya ketika ini.

Antara isu segera yang perlu diberi perhatian oleh Biden adalah dengan membendung penularan virus Covid-19.

Penularan Covid-19 di Amerika Syarikat adalah yang paling teruk dalam dunia. Sikap tidak acuh Trump telah menyebabkan ramai rakyat Amerika menjadi mangsa jangkitan virus terbabit.



Pentadbiran Biden atur perancangan pulihkan semula negara

 

Biden juga perlu meredakan konflik perkauman antara kaum kulit putih dan kulit hitam yang tercetus beberapa bulan lalu selepas peristiwa pembunuhan seorang warga kulit hitam George Floyd pada Mei lalu.

Walaupun Amerika banyak melayan masyarakat antarabangsa dengan keras selama ini melalui segala dasar luar mereka, namun atas dasar kemanusiaan, masyarakat antarabangsa tidak harus membalas dendam.

Masyarakat antarabangsa harus memberi sokongan dan bantuan yang diperlukan Biden bagi memastikan Amerika pulih.

Sebagai sebuah kuasa besar dunia, kestabilan Amerika penting bagi kestabilan seluruh dunia.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Biden angkat sumpah Presiden

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker