Covid-19 : Mungkin angka boleh cecah 8,000 kes sehari


DUA minggu pertama di tahun baharu 2021, negara kita dikejutkan dengan angka-angka yang memberi rasa panik kepada kita semua.

Beberapa hari kebelakangan ini angka kes baharu COVID-19 boleh cecah rekod ‘Kes Positif Harian Tertinggi’.

Imbau tahun lalu sekejap, pada permulaannya negara kita mencatatkan kes tertinggi dengan angka 2335 yang direkodkan pada 26 Disember 2020. Ketika itu, rata-rata orang kita ‘riuh rendah’ menunjukkan rasa takut, almaklumlah pertama kali mencatat angka sebanyak itu.

Rupa-rupanya ia tidak terhenti di situ, penutup bagi tahun serba sendu itu mencatatkan kes tertinggi bagi tahun berkenaan iaitu dengan 2525 pada 31 Disember 2020. Kita menutup tahun penuh makna dengan kerisauan yang berganda.

Tahun 2021, kes baharu harian direkodkan dengan empat digit, masing-masing dua ribu ke atas. Paling menyerlah ialah pada 16 Januari iaitu 4029. Inipun sama juga, rata-rata di media sosial dan muka-muka akhbar penuh dengan coretan kebimbangan terhadap kes yang begitu tinggi.

Kita semua mengharapkan agar angka pada tarikh itu adalah penamat dan paling tinggi dalam sejarah negara kita. Semua berharap tiada lagi dicatatkan kes setinggi itu pada hari muka. Namun adakah ia sekadar harapan atau angan-angan Mat Jenin? Dan adakah ia hanya berlaku di negara kita sahaja?

Sebenarnya bukan di Malaysia sahaja berlaku peningkatan kes sebegini. Banyak lagi negara lain yang turut alami situasi sama.

Contohnya negara jiran seperti Indonesia dan Filipina turut menunjukkan peningkatan kes melibatkan empat digit.

Ambil fakta dari Indonesia, negara berkenaan telah mencatatkan 896,642 kes untuk sehingga minggu kedua di tahun 2021, dan ia terus menunjukkan pertambahan kes.

Pada 15 Januari lalu, Indonesia merekodkan 12,818 kes yang dikatakan sebagai angka harian tertinggi tetapi keesokan harinya pula angka terbaharu lebih tinggi dengan mencecah 14,224 kes.
Begitu juga di Filipina, pola peningkatan berlaku. Ambil contoh pada 12 Januari sebanyak 1,524 kes direkodkan, diikuti 1,453 kemudian naik kepada 1,912 pada 14 Januari dan 2,048 pada 15 Januari.

Di Asia Tenggara ini, rasanya Brunei Darussalam sahaja yang
mencatatkan kes terkecil apabila setakat minggu kedua tahun 2021, negara berkenaan setakat ini mengumpul sebanyak 174 kes. Negara itu mencatatkan kes harian terendah kecuali pada 3 Julai 2020 sebanyak 15 kes.

Peningkatan kes di Malaysia ini sebenarnya dalam pengetahuan
Kementerian Kesihatan (KKM) pimpinan Datuk Seri Dr. Adham Baba. Namun siapa sangka angka itu muncul lebih awal daripada jangkaan.

Unjuran KKM menunjukkan negara ini dijangka merekodkan peningkatan jumlah kes COVID-19 sehingga 8,000 kes sehari pada penghujung Mei depan, jika kadar infektiviti negara berterusan pada julat 1.1.

Maknanya, andai kita semua tidak mampu menurunkan R-naught ini kepada 0.5, maka kita akan berhadapan 8,000 kes positif sehari.

Angka R-naught digunakan oleh ahli epidemiologi untuk menerangkan tahap keseriusan jangkitan sesuatu penyakit berjangkit.

Sekiranya angka R-naught ini kekal 1.1, KKM mengunjurkan akan berlaku jangkaan peningkatan sebanyak 3,000 kes sehari pada minggu kedua bulan Februari dan terus meningkat kepada 5,000 kes sehari dalam minggu kedua bulan April depan.
Sekiranya angka R-naught ini berterusan, jumlah kes harian akan
meningkat menjadi 8,000 pada minggu keempat bulan Mei 2021.

Justeru, sekiranya kita tidak mampu menurunkan R-naught ini, maka bersedialah untuk kita melihat angka harian tertinggi atau angka kes baharu yang bukan sekadar empat angka tetapi bermula dengan nombor 4 atau 5 atau 6 atau 7 hingga ke 8.

Semuanya berlaku andai kita saling pentingkan diri sendiri. Mudah-mudahan tidak terjadi begitu.
Apa yang diharapkan langkah mengenakan sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 pada Mei depan.

Sebagai rakyat juga, kita harus kekal memberi sokongan kepada
kepimpinan KKM dan lain-lain agensi kerajaan untuk melandaikan lengkungan ini.

Pada ketika yang sama, pihak berwajib juga wajar memberi kerjasama baik dengan meringankan beban tertanggung oleh rakyat kebanyakan.

Berhentilah dari menabur fitnah dan membuat buli siber ke atas
“Panglima-Panglima Perang COVID-19” yang ada di negara kita.

Sebaliknya berilah semangat, kepatuhan dan “positive vibes” agar
tentera-tentera negara yang melawan COVID-19 mudah untuk
menjalankan amanah mereka.

Sentiasa patuh kepada saranan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar kita duduk di rumah jika bergejala, tidak bergejala atau tiada keperluan mendesak untuk keluar. Jika kita keluar rumah sekali pun, tolong patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalkan norma baharu pada setiap masa.

Bagi majikan yang membenarkan ‘anak buah’ untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) pula, tolonglah jangan ‘membuli dari atas talian’. Perlulah saling mencari titik terbaik agar prestasi kerja dapat dioptimum.

Para pekerja pula janganlah mengambil kesempatan apabila diberi kelonggaran untuk BDR, uruslah diri dan keluarga semampu yang boleh agar seimbang antara tugas pejabat dan rumah. Jangan pula upah yang kita dapat nanti tidak berkat, akibat kita tidak menjalankan amanah dengan sebaik mungkin
Hanya itu sahaja (duduk di rumah) yang kita mampu lakukan saat ini untuk menurunkan kadar R-naught, sekali gus menurunkan angka kes harian COVID-19.
Ayuh kita saling pesan memesan sesama kita. Kita terjemahkan makna sebenar ‘kita jaga kita’. Tanpa kira sama ada anda golongan profesional, golongan artisan, golongan ahli politik atau golongan mana sekali pun, kita tetap ada tanggungjawab kendiri untuk memutuskan rantaian musuh nombor satu negara ini.

SARFARIZMAL SAAD
Setiausaha Agung,
Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker