PM lawat hospital bersepadu MAEPS 2.0
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat Hospital Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 di Serdang dekat sini.
Beliau yang tiba pada 5.20 petang kemudian diiringi Menteri Kesihatan Dr Adham Baba ke sesi taklimat tertutup pengoperasian oleh Pengarah Kesihatan Selangor merangkap Komander Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Wilayah Tengah Dr Sha’ari Ngadiman.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Dr Aminuddin Hassim.
Selepas taklimat, perdana menteri dibawa melawat dan bertemu dengan pesakit yang sedang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang berkonsepkan mesra keluarga sebelum meninjau sekitar hospital tersebut.
Hospital bersepadu 2.0 dijangka beroperasi sepenuhnya pada 24 Jan ini bagi merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum dihantar mendapatkan rawatan rapi di hospital.
Langkah itu bertujuan merawat pesakit Covid-19 kategori satu dan dua di PKRC MAEPS 2.0 yang tiba-tiba berubah kepada kategori tiga atau empat dan lima.
Hospital itu yang terletak di dewan B menyediakan fasiliti yang sama dengan hospital lain, dilengkapi 30 katil bagi pesakit kategori tiga dan empat, selain sebuah khemah di luar dewan untuk kes transit unit rawatan rapi dengan 10 katil.