UMNO perlu guna masa darurat perbaiki imej

 

Proklamasi Darurat diakui bertujuan membendung penularan COVID-19 yang kini sangat kritikal dan mewujudkan kestabilan untuk membolehkan kerajaan menumpukan pemulihan ekonomi.

Namun, ia juga berikan isyarat kepada sebahagian ahli politik bahawa gerakan percaturan juga dimatikan. Sebarang penarikan sokongan terhadap kerajaan tidak akan memberikan implikasi.



Walaupun sebahagian Ahli Parlimen UMNO memilih untuk bebas, ia tidak akan menjejaskan kerajaan. Melalui proklamasi itu, kerajaan masih berfungsi dalam pelaksanaan badan eksekutif diterajui Perdana Menteri.

Sebenarnya, sebarang percaturan bukan bergerak sehala, sebaliknya tidak mustahil dua hala.

Misalnya, Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), sanggup menyertai Pakatan Harapan (PH). Namun, perlu diingatkan, mereka pasti akan berhadapan dengan DAP. Kesanggupan menerima kehadiran DAP, tentu menjadi teka-teki menarik.

Pada masa sama, mana-mana parti dalam PH juga mempunyai peluang menyertai atau menyokong PN selepas Ahli Parlimen UMNO.



Ini memperlihatkan percaturan politik sebegini bakal mengundang risiko ketidaktentuan masa depan. Dalam konteks UMNO, situasi ini amat genting kerana dekatnya masa pemilihan kepimpinan dalam mesyuarat perwakilan UMNO, Mac ini.

Tindakan sebegini akan memberikan impak kepada pemilihan semula Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada kerajaan PN dalam pemilihan baharu nanti.

Malah, desakan pilihan raya sebelum pemilihan UMNO juga sudah tidak bermakna kerana Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) memperuntukkan ia tidak perlu diadakan sepanjang darurat berkuasa.

Seterusnya, jika pilihan raya umum (PRU) diadakan selepas pemilihan UMNO, banyak senario boleh berlaku. Antaranya, kemungkinan sebahagian Ahli Parlimen UMNO meneraju kepemimpinan mungkin tidak akan terpilih semula dalam pemilihan Perhimpunan Agung UMNO. Begitu juga kemungkinan perubahan kepemimpinan baharu menggantikan kepemimpinan sedia ada.



Faktor ini boleh dilihat apabila beberapa kes berprofil tinggi membabitkan kepemimpinan tertentu dalam UMNO mungkin disabitkan kesalahan hingga penyerahan kepada barisan baharu tidak dapat dielakkan.

Terdapat juga desakan transformasi terhadap kepemimpinan UMNO dalam generasi pelapis UMNO. Suara transformasi ini tidak dapat ditolak atau dinafikan.

Walaupun pelapis yang ingin perubahan dalam UMNO dalam kalangan minoriti, suara mereka semakin kuat. Sebahagian generasi muda Melayu tidak lagi melihat UMNO sebagai satu-satunya penyelamat bangsa.

Mahu tidak mahu, kepemimpinan UMNO perlu sedar zaman kegemilangan sudah berlalu hingga perlu mengambil tindakan segera bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.



Hakikatnya, angka keahlian tidak boleh dijadikan ukuran sokongan terhadap UMNO. UMNO perlu belajar daripada sejarah apabila parti yang mempunyai keahlian paling ramai di negara ini tetap kalah dalam PRU Ke-14 (PRU-14).

Pengajaran itu perlu dijadikan iktibar bahawa bukan setiap perancangan parti itu mendapat sokongan rakyat khususnya Melayu.

Walaupun UMNO berjasa kepada negara ini sejak merdeka, ia tetap akan ditolak rakyat jika transformasi dan perubahan struktur kepemimpinan tidak dilaksanakan selari aspirasi jiwa generasi muda.

Kini persepsi awam yang melihat tindakan UMNO ingin mengadakan PRU sebagai langkah kurang baik. Parti itu dikatakan terdesak melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan beberapa agenda kepemimpinan sedia ada.



UMNO juga dilihat kurang peka kepada seruan memperkasakan penyatuan ummah hingga PAS tersepit antara matlamat dengan kehendak kepemimpinan UMNO itu. Ia boleh menjejaskan sokongan rakyat walaupun PRU diadakan dalam masa terdekat.

Apa yang perlu dilakukan UMNO adalah memperbetulkan semula persepsi rakyat terhadap mereka. Ahli Parlimen mereka perlu bertindak bijak, bukan melakukan sesuatu di luar jangkaan.

Jika salah percaturan dalam masa darurat ini, UMNO mungkin akan berdepan tindakan merugikan parti itu dalam politik Melayu, bahkan sokongan rakyat akan menurun dan memberikan pukulan dalam PRU nanti.

UMNO perlu menggunakan masa darurat ini memperbaiki imej dan persepsi rakyat ke atas parti itu. Sebarang usaha merebut kerusi Parlimen sama ada milik UMNO asal atau mempertahankan kerusi sedia ada, perlu dinilai dengan teliti.



Apa yang penting ialah kualiti memenangi sesuatu kerusi, bukan berdasarkan angka keahlian dan pengundi yang mengundi parti itu dalam PRU lalu.

 Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker