Kereta Api Laju Tahan Cuaca Ekstrem

China mendedahkan kepada umum kereta api berkelajuan tinggi terbaharunya mampu beroperasi dalam iklim sejuk melampau.

Kereta api model CR400AF-G itu boleh beroperasi pada kelajuan 350 kilometer sejam dan di persekitaran suhu di -40 darjah Celsius.

Ini sebahagian daripada projek kereta api berkelajuan tinggi elektrik pelbagai unit yang dibangunkan Kumpulan Kereta Api China.



Kereta api ini diuji dari Beijing pada 6 Januari lalu dengan menggunakan laluan berkelajuan tinggi yang menghubungkan bandar utama China dengan destinasi utara termasuk bandar Shenyang dan Harbin yang terkenal dengan festival salji dan musim sejuknya.

Bagaimanapun, masih belum ada tarikh rasmi untuk kereta api berkelajuan tinggi tanpa pemandu ini beroperasi dalam sistem perkhidmatan pengangkutan darat negara itu.

Berdasarkan hantaran media sosial WeChat, Kumpulan Kereta Api Beijing China mula menguji beberapa komponen kereta api itu dalam keadaan cuaca sejuk melampau.

Ini termasuk pelbagai komponen seperti besi selak yang dibuat daripada aloi yang mampu bertahan dalam cuaca sejuk melampau, lapisan silikon yang boleh menghalang salji daripada masuk ke dalam gerabak.



Selain itu, ujian juga dijalankan terhadap sistem kawalan brek dan paip besi untuk peralatan pemanas.

Kereta api ini direka bentuk dengan rintangan rendah dengan badan aloi aluminium ringan bagi membantu mengurangkan penggunaan tenaga.

Dalam laporan China Daily, Pengarah Kumpulan Kereta Api Beijing China, Zhou Song berkata, sistem brek kereta api berkenaan mampu berfungsi walaupun berada di Harbin yang juga bandar paling sejuk di China.

“Sebelum ini, jika kereta api lain berhenti di Harbin selama sejam, sistem brek dengan mudah membeku.



“Namun, sistem terbaharu ini mampu mengatasi masalah itu kerana boleh digerakkan walaupun kereta api berhenti,” katanya seperti dilaporkan CNN.

China bukan saja negara yang memiliki kereta api berkelajuan tinggi, malah Jepun turut memiliki sistem pengangkutan sama yang tidak hanya boleh bergerak pantas dan lancar.

Malah, sistem kereta api di Jepun juga boleh bergerak ketika dilanda gempa bumi.

Model N700S umpamanya mampu bergerak pada kelajuan 360 kilometer sejam namun kini dihadkan kepada 285 kilometer sejam saja.



Kereta api itu juga dinaik taraf dengan sistem kawalan brek automatik yang berupaya berhenti lebih cepat dalam keadaan kecemasan.

Selain itu, kereta api ini mampu bergerak untuk jarak dekat ke lokasi lebih selamat dengan menggunakan bateri ion litium jika kehilangan kuasa.

Kereta api itu beroperasi sejak 1 Julai lalu dan menghubungkan Stesen Tokyo dengan Stesen Shin-Osaka di Osaka.

Bagaimanapun, China kini memiliki rangkaian kereta api berkelajuan tinggi terbesar di dunia dengan jarak keseluruhan melebihi 37,000 kilometer.



Malaysia wajar kaji semula keputusan batalkan projek HSR

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker