Pemotong rumput mengaku tak bersalah pukul polis guna topi keledar

P Subramaniam dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas mengaku tidak bersalah menghalang tugas penjawat awam dan mencederakan anggota polis dengan menggunakan topi keledar.

IPOH: Seorang pemotong rumput mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dan mencederakan seorang anggota polis di Buntong, Selasa lalu.

Tertuduh, P Subramaniam, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Subramaniam didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam, Sarjan Mohd Zainudin Mohd Jidin daripada menjalankan tugas dengan enggan menunjukkan kad pengenalan ketika pemeriksaan.

Dia juga didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Zainudin dengan memukul kepala anggota polis berkenaan dengan menggunakan topi keledar.



Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 3.15 petang di kawasan Jalan Sungai Pari berhampiran Flat Harmoni di Buntong pada 12 Jan lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Subramaniam didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, K Darinee, manakala tertuduh diwakili peguam, Ranjit Singh.



Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 18 Feb ini bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam tertuduh berkata, tertuduh akan membuat laporan polis ke atas penjawat awam terbabit yang didakwanya tidak berpakaian seragam polis ketika meminta kad pengenalannya semasa pemeriksaan.

Difahamkan, laporan polis tersebut akan dibuat sebaik sahaja tertuduh selesai diberi jamin.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker