8 lagi jemaah tabligh pulang selepas mahkamah India batal tuduhan

Terkini di My KMU !!!!---->

PUTRAJAYA: Lapan jemaah tabligh Malaysia kembali dari New Delhi, India selepas Mahkamah Tinggi Patna, Bihar membatalkan pertuduhan menyalahgunakan pas lawatan sosial terhadap mereka.

Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar dalam kenyataan memaklumkan mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.58 petang tadi.

Beliau berkata, kini hanya tinggal seorang lagi jemaah tabligh Malaysia yang masih menunggu keputusan mahkamah berhubung kesnya di Kishanganj, India.

“Kementerian Luar menerusi Perwakilan Malaysia di New Delhi, India akan terus memantau perkembangan kes ini secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang jemaah tabligh tersebut, selepas pembebasan beliau kelak.”

Kamarudin, yang juga pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, berkata selaras peraturan semasa, semua jemaah tabligh yang dibawa pulang ke tanah air akan dikuarantin 10 hari di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan.

Katanya, Kementerian Luar berjaya membawa pulang 188 daripada 189 jemaah tabligh yang berada di India setakat ini.

Sebelum ini, katanya, 180 jemaah tabligh Malaysia dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) pada tahun lalu.

Kementerian Luar turut merakam penghargaan serta mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan terbabit, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan atas kerjasama serta komitmen berterusan dalam menjayakan misi membawa pulang jemaah tabligh Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India yang terus membantu urusan kepulangan mereka.”

Leave a Reply