Denda remaja ‘hantar’ mayat teman wanita ketika PKP dinaikkan RM1,000

Remaja (kiri) meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini, selepas dendanya dinaikkan daripada RM100 kepada RM1,000 kerana melanggar PKP dengan keluar rumah untuk menghantar pulang mayat teman wanitanya, selepas terlibat kemalangan pada 12 April 2020. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini menaikkan denda RM100 kepada RM1,000 terhadap seorang remaja lelaki kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan keluar rumah untuk menghantar pulang mayat teman wanitanya selepas terbabit kemalangan jalan raya tahun lalu.

Hakim Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap denda RM100 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Rompin pada 16 Julai 2020 ke atas remaja berusia 17 tahun itu yang mengaku bersalah melanggar PKP dengan berada di luar rumah pada 3.15 pagi 12 April 2020.

Bagi kesalahan melanggar PKP, denda maksimum ialah RM1,000.

Dalam prosiding itu, hanya pihak terbabit dalam kes itu dibenarkan memasuki bilik mahkamah.



Peguam Hazwan Hamdan yang mewakili remaja itu memberitahu media, Zainal Azman memutuskan terdapat keperluan untuk beliau meminda hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Rompin.

“Mahkamah berpandangan jumlah denda perlu dinaikkan kepada RM1,000 seperti di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 atau ia akan menjadi rujukan pihak lain bagi mendapatkan denda lebih rendah pada masa akan datang.”

Hazwan berkata, hakim juga memerintahkan pelajar tingkatan lima itu selaku responden menjalani hukuman penjara sebulan, jika gagal membayar denda itu. Difahamkan, abangnya sudah membayar denda tersebut.

Zainal Azman bagaimanapun menolak rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Majistret itu supaya remaja itu melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam selama 18 bulan, menghadiri bengkel interaktif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta membayar pampasan RM3,000 kepada keluarga teman wanitanya.



Beliau mengekalkan perintah mahkamah itu yang membuat keputusan terhadap remaja berkenaan yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menunggang motosikal dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan di KM137 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, pada hari dan masa sama dia melanggar PKP.

Kemalangan di laluan ladang kelapa sawit melibatkan seekor kerbau itu menyebabkan teman wanitanya, juga berusia 17 tahun, maut akibat parah di kepala, dengan mayatnya ditinggalkan di garaj tempat letak kereta rumah keluarga remaja perempuan tersebut di Felda Keratong 10, Rompin.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dalam hujahan bertulis berkata, hukuman RM100 yang terlalu rendah dikhuatiri menjadi tanda aras pelanggaran PKP tidak akan menerima hukuman berat dan setimpal, sedangkan pelaksanaannya bagi membendung penularan Covid-19.

“Pengakuan salah dan faktor umur responden tidak sepatutnya menjadi faktor utama dalam menjatuhkan hukuman kerana semasa kejadian, responden mempunyai tahap pemikiran normal dan sempurna serta latar belakang pendidikan mencukupi untuk menilai sebab dan akibat perbuatannya.”



Peguam Ahmad Deniel Roslan yang juga mewakili remaja itu dalam hujahan bertulis berkata, tiada keperluan meminda hukuman Mahkamah Majistret kerana ia menepati prinsip keadilan dan memadai, memandangkan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta mengaku bersalah di peringkat awal.

“Lebih penting ialah responden dapat meneruskan sesi persekolahan dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Malah, responden dan keluarganya telah berjumpa keluarga remaja perempuan itu bagi memohon maaf.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker