Parlimen digantung: Suhakam bimbang tiada semak dan imbang

Susulan parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung kerana proklamasi darurat, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan kebimbangannya mengenai pemusatan kuasa pihak eksekutif dalam kerajaan.

“Suhakam menekankan bahawa parlimen adalah institusi utama demokrasi dan merupakan badan yang diamanahkan dengan fungsi pengawasan bagi memastikan Kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap rakyat.

“Melihat kepada pengumuman ini, Suhakam bimbang tentang ketiadaan semak imbang terhadap penumpuan kuasa eksekutif kerajaan sepanjang tempoh darurat,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dalam hal ini, Suhakam yang juga sebuah badan berkanun menggesa kerajaan agar mendukung tugas dan tanggungjawab mereka dalam menghormati kedaulatan undang-undang .

“Dan terus melindungi kebebasan asasi rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam usaha mengawal wabak ini.

“Suhakam menekankan bahawa darurat seharusnya berpandukan prinsip hak asasi manusia dan tidak patut digunakan untuk tujuan lain selain daripada menangani wabak Covid-19,” katanya lagi

Suhakam turut menyeru kerajaan untuk mengatur langkah-langkah yang efektif bagi menyokong pemenuhan hak ekonomi dan sosial rakyat terutamanya golongan rentan yang terjejas oleh Darurat dan perintah kawalan pergerakan.

Antara langkah yang dicadangkan badan berkanun itu termasuklah peruntukan sokongan kelangsungan hidup, makanan, pendidikan, perlindungan sosial dan kesihatan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Proklamasi Darurat juga berkata pilihan raya umum tidak akan diadakan sepanjang perintah darurat yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021.

Ini termasuk pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil, bagi tujuan membendung penularan jangkitan Covid-19.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker