Misi saya untuk stabilkan politik, masalah datang dari Umno, GPS no problem. PAS no problem – Annuar Musa

Share

 

Bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa berharap tiga parti utama Melayu -Umno, Bersatu dan PAS akan dapat menamatkan kemelut politik dalam gabungan itu.

“Misi saya ialah untuk melihat politik dalam negara ini distabilkan supaya kerajaan boleh berprestasi menyumbang kepada rakyat dan teras kepada kestabilan adalah persefahaman yang perlu dibaiki antara PAS, Umno dan Bersatu.

“Kalau salah satu tidak ada, ia merupakan gabungan yang tempang,” katanya dalam satu temubual bersama portal Sinar Harian semalam.

Selain itu, Annuar turut menggesa mereka mengetepikan sentimen peribadi.

“Yang penting dalam pilihan raya umum ke15 (PRU15), politik negara perlu distabilkan. Tidak boleh lagi ada parlimen gantung atau tak boleh lagi bertukar kerajaan.

“Kestabilan itu dengan cara BN, Perikatan Nasional (PN) bekerjasama (dengan) Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Saya yakin ketiga-tiga ini boleh menamatkan kemelut politik yang tidak stabil,” katanya.

‘Saya tak gaduh dengan Zahid’

Dalam tembual berkenaan Annuar berkata dia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan PAS, Bersatu dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Tidak mengapa saya disingkirkan. Saya tidak bergaduh dengan presiden (Umno Ahmad Zahid Hamidi).

“Saya akan kekalkan hubungan baik dengan PAS, Bersatu dan PM (perdana menteri) serta saya mahu lihat semua parti kembali ke jalan (mentadbir bersama),” kata Annuar sambil menegaskan prinsip untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan sesiapa yang berkhidmat untuk parti itu.

Minggu lalu, anggota parlimen Ketereh itu disingkirkan dari jawatannya sebagai setiausaha agung BN.

Pemecatan terhadap Annuar dilakukan di tengah laporan bahawa 189 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu.

Bersatu dan Presidennya, Muhyiddin juga menerima tekanan kuat susulan gesaan Zahid agar PRU diadakan secepat mungkin.

Bagaimanapun, segala usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin dan mengadakan PRU15 terhenti berikutan pengisytiharan darurat hingga Ogos, sebagaimana yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong semalam.

Beberapa pihak dalam Umno melihat Annuar lebih cenderung kepada Bersatu dan dipercayai ini menjadi sebab dia disingkirkan daripada jawatan setiausaha agung BN.

Dalam temubual semalam, Annuar juga tidak berselindung apabila mengatakan masalah yang timbul dalam PN berpunca daripada Umno sendiri.

“Masalahnya datang dari Umno, GPS no problem. PAS no problem. Parti lain juga no problem.

“Kalau Umno boleh baiki (hubungan dalam PN). Insya-Allah,” katanya lagi.

Leave a Reply