Gelongsoran tanah: Jalan Kota Tinggi-Kluang ditutup sementara untuk kerja pembersihan

Share

Foto ihsan JKR Daerah Kluang

 

KLUANG: Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Taman Sri Impian yang berlaku gelongsoran tanah kira-kira jam 8.30 malam Selasa akan ditutup sehingga kerja-kerja pembersihan jalan siap dilakukan sepenuhnya.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kluang, Aidi Mohd Salleh yang dihubungi berkata, panjang kesan gelongsoran adalah sepanjang kira-kira 100 meter dengan ketinggian lebih 200 meter.

Manakala rentangan jalan yang terjejas dengan insiden itu pula adalah sepanjang 200 meter.

Katanya, semua kenderaan dari Kluang menuju ke Kota Tinggi akan dilencongkan melalui Jalan 1 di Taman Sri Impian, iaitu pengguna yang dari dari Kota Tinggi boleh memasuki Jalan 2 atau 3 untuk meneruskan perjalanan.

Kini kerja-kerja pembersihan sedang giat dilakukan.

Semua kerja-kerja pembersihan dijangka memerlukan masa kira-kira seminggu kerana bimbang gelongsoran baharu mungkin berlaku jika hujan berterusan.

Orang ramai disaran untuk mematuhi sebarang arahan daripada pihak yang bertugas di lapangan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Menurut Aidi, selain jalan itu, pengguna juga boleh menggunakan Jalan Padang Tembak atau Jalan Mengkibol untuk Kota Tinggi serta kawasan petempatan yang berada di sepanjang laluan berkenaan.

Leave a Reply