Geng PhD mana nak PRU segera, sindir Annuar
Menteri Wilayah, Annuar Musa secara sinis menyindir pihak yang mahukan pilihan raya umum (PRU) diadakan secepat mungkin.
Beliau turut mendakwa rata-rata ahli akedemik yang mempunyai PhD menolak PRU diadakan dalam masa terdekat.
“Malam tadi sempat singgah UKM Bangi, borak santai dengan pensyarah, ramai yang ada PhD, pagi ni terima mesej geng PhD, semua tak nak PRU diadakan sekarang.
“Geng PhD mana ya yang nak pilihan raya ni? Pemaruk kelapa cakap, tak nak dengar… Pemaruk kelapa mungkin ada PhD tau,” katanya menerusi Twitter tanpa menamakan pihak mana yang dimaksudkannya mahu PRU diadakan secepat mungkin.
Sebelum ini Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan menyifatkan golongan berpendidikan tinggi lebih dapat memahami keperluan mengadakan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin.
Merujuk satu temu bual sebuah stesen televisyen dengan seorang individu yang bekerja sebagai pemarut kelapa, Ahmad Maslan menerangkan sebab-sebab mengapa PRU wajar diadakan segera.
“Saya dipertontonkan dengan Astro Awani atau TV3, tidak pasti, dia ada temu bual seorang pemarut kelapa. Tak pastilah (individu) itu daftar undi atau tidak. Dia cakap tak boleh lakukan PRU kerana Covid-19.
“Tapi saya jawab kenapa perlu PRU, kerana banyak negara yang sudah lakukan antaranya di Amerika Syarikat, Singapura dan kita juga dah laksana pilihan raya kecil (PRK) di Chini, Slim dan pilihan raya negeri (PRN) Sabah,” katanya dalam program wacana ilmu bersama Umno Perak disiarkan di Facebook, baru-baru ini.
Kenyataan Ahmad Maslan itu menerima pelbagai reaksi.
Beliau kemudiannya mempertahankan cadangan parti itu supaya PRU15 diadakan ketika ini, namun hanya selepas banjir dan vaksinasi Covid-19 mula dilaksanakan.
“Jika boleh ke kedai, pasar raya, restoran beratur setiap hari kenapa tak boleh cuma satu hari beratur mengundi dengan SOP ketat?” soalnya. FMT
Pro Bersatu : Mati dalam beriman lebih penting, sindir Annuar Musa