19 juta rakyat enam negeri ‘dikurung’
Kira-kira 19 juta rakyat di enam negeri dikenakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang pernah dilaksanakan kerajaan pada Mac tahun lalu selama tiga bulan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negeri terlibat ialah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Johor serta Sabah.
Menurutnya, PKP akan dilaksanakan selama 14 hari bermula pukul 12.01 tengah malam esok sehingga 26 Januari ini.
Beliau turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terhadap enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Bagi Perlis dan Sarawak, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan sepanjang tempoh itu.
“Tempoh dua minggu yang akan datang ini amatlah penting untuk bukan sahaja diri kita, tetapi juga seluruh negara.
“Semua kebebasan yang kita korbankan ini seperti terputus hubungan dengan rakan-rakan, berada di dalam isolasi di rumah dan kesukaran untuk melakukan aktiviti sosial di luar akan mampu menyelamatkan nyawa kita semua,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri semalam.
Muhyiddin berkata, bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian Covid-19, pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara, manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga dilarang.
Menurutnya, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai termasuk kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan dan mesyuarat tidak dibenarkan kecuali di kawasan PKPP.
“Pergerakan terhad sekitar 10 kilometer radius bagi negeri-negeri PKP, manakala dua anggota isi rumah dibenarkan keluar membeli barangan keperluan di pasar raya atau kedai runcit.
“Bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum lima orang.
“Bagi negeri yang dikenakan PKPP dan PKPB, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum,” ujarnya.
Bagi sektor ekonomi, Muhyiddin memberitahu, kerajaan membenarkan operasi pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.
“Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan boleh berada di pejabat, manakala pekerja kumpulan sokongan, jumlahnya akan ditentukan majikan,” ujarnya.
Menurut Muhyiddin, sepanjang PKP, kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan take away, manakala bagi kawasan PKPB dan PKPP, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa.
“Virus ini telah pun berada dalam komuniti dan hidup bersama kita. Janganlah kita terlalu selesa dan akhirnya mengabaikan langkah-langkah pencegahan yang ditetapkan,” ujarnya.
PKP sebelum ini dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 mulai 18 Mac hingga 12 Mei 2020.
Ia kemudian digantikan dengan PKPB bermula 13 Mei hingga 9 Jun tahun lalu sebelum PKPP pula dilaksanakan mulai 10 Jun tahun lalu.
Perkara Yang DIBENARKAN Dan Yang DILARANG Dalam Tempoh PKPP
You must be logged in to post a comment.