Tidak perlu panik, kerajaan beri masa rakyat bersedia – Ismail Sabri

BERA: Kerajaan akan memberi tempoh secukupnya untuk rakyat bersedia sebelum melaksanakan sebarang tindakan mengawal jangkitan COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menasihati rakyat agar tidak membuat pembelian panik berikutan adanya spekulasi kerajaan akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Katanya, rakyat juga diminta tidak mudah percaya dengan berita palsu mahupun pelbagai andaian tidak benar berhubung keputusan yang akan diumumkan kelak.

“Tidak perlu hendak pembelian panik, yang tular semua palsu…tunggu dulu pengumuman dari kerajaan.

“Apapun keputusan, kerajaan tidak terus buat serta-merta, mesti akan beri ruang (persediaan) dalam tempoh dua, tiga hari dan sebagainya,” katanya kepada Bernama ketika menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kerayong di sini hari ini.

Mengenai spekulasi pelaksanaan semula PKP, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata: “Saya percaya tidak mungkin kita (kerajaan) laksanakan total lockdown seperti PKP sebelum ini…kita ada lagi mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan teknikal pada Isnin ini untuk melihat SOP (prosedur operasi standard) lebih terperinci.

“Apa-apa keputusan kerajaan buat adalah yang terbaik untuk rakyat, tidak usah panik.”

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin mengenai tindakan yang dilaksanakan berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan kebelakangan ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail Sabri meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat menyalurkan bantuan banjir agar menyelaraskan pertolongan mereka dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di kawasan terjejas.

Katanya, kerajaan tidak menghalang usaha NGO sebaliknya mahu memastikan setiap bantuan yang dibawa dapat diagih dan diselaras dengan sempurna selain bagi mengelak berlaku penularan COVID-19 di kawasan bencana yang mungkin dibawa oleh individu daripada zon Merah.

BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker