Lagi kes salah guna logo halal, kali ini syarikat roti, biskut
687 paket produk disita, bakal berdepan tindakan undang-undang
BANGI, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – Kedegilan sebuah syarikat pembuat makanan roti dan biskut di Taman Seremban Jaya, Seremban yang disyaki menggunakan logo halal tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengundang padah apabila bakal berdepan tindakan undang-undang.
Selasa lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan bersama pasukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membuat serbuan di premis tersebut pada jam 11.15 pagi selepas pemantauan dilakukan sejak seminggu lalu.
Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Azman Aziz berkata, hasil pemeriksaan mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk yang dimiliki oleh perniagaan telah digantung pada 23 September 2020 dan seterusnya telah ditarik oleh JHEAINS pada 12 Oktober 2020.
Namun begitu katanya, logo halal Jakim masih digunakan pada paket-paket pembungkusan produk keluaran perniagaan ini.
“Disebabkan itu, sebanyak 687 peket produk makanan keluaran perniagaan ini disita dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM834.80.
“Semua barangan tersebut di sita di bawah Per. 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Per. 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, ” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, jika disabit kesalahan bagi suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM 200,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM 500,000.
Bagi individu, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“KPDNHEP negeri akan terus menjalankan operasi ke atas mana-mana pihak yang didapati menggunakan logo halal pada mana-mana produk makanan dan barang-barang tanpa mendapat perakuan halal yang sah,” katanya.
Pengguna di Negeri Sembilan boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang melalui talian telefon 1 800 886 800 atau pesanan WhatsApp di 019 279 4317.