Usul Putus Hubungan Dengan Bersatu, Diangkat ke Perhimpunan Agong UMNO

KUALA LUMPUR: Umno akan menentukan nasib hubungannya dengan PPBM pada perhimpunan agung parti itu yang akan diadakan pada 31 Jan.

Majlis Kerja Tertinggi Umno yang bermesyuarat malam tadi berkata ia bersetuju untuk membawa ke perhimpunan itu usul memutuskan hubungan dengan PPBM “semasa” menghadapi pilihan raya umum ke-15, yang dibangkitkan oleh “majoriti besar Umno bahagian”.

“Ini bagi dibahas dan diputuskan di peringkat tertinggi parti,” kata Ketua Penerangan Shahril Hamdan dalam kenyataan, menyusuli mesyuarat kira-kira tiga jam.

Perkembangan ini susulan kebanyakan 191 bahagian Umno dikatakan mendesak parti tidak lagi bekerjasama dengan parti serpihannya itu pada PRU-15, berlatarkan pertikaian ke atas kerusi-kerusi yang ingin ditandingi kedua-dua parti itu.

Pelbagai isu ditimbulkan seperti layanan Perikatan Nasional terhadap Umno, namun isu kerusi dianggap paling genting kerana penganalisis melihat PPBM mensasarkan kumpulan pengundi dan kerusi yang sama.

Sementara itu, usul lain yang akan dibawa untuk dibahaskan termasuk mempertahankan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN), dengan mengambil kira sentimen permuafakatan yang dibina ketika 22 bulan sebagai pembangkang.

Selain itu, usul menggesa PRU-15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021, bagi membolehkan mandat diserahkan kepada rakyat tertakluk kepada keadaan Covid-19.

Semua tiga usul utama itu dibawa perwakilan bahagian-bahagian yang bermesyuarat hujung minggu lalu.

“Usul-usul ini menyentuh soal dasar dan pendekatan asas yang akan mempunyai kesan besar kepada masa hadapan parti dan negara,” kata Shahril, menjelaskan sebab ia akan dibawa ke PAU.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker