Perang menentang Covid-19 kini terserah kepada masyarakat

Terkini di My KMU !!!!---->

 

Gambar Hiasan

PETALING JAYA: Dengan kapasiti hospital awam dan Pusat Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 di negara ini hampir penuh, pakar berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mungkin tidak mempunyai pilihan, selain merawat pesakit tanpa gejala atau ringan di rumah mereka.

Beban tugas untuk mengekang jangkitan akan beralih daripada kerajaan kepada masyarakat sendiri.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial serta Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, pematuhan SOP akan menjadi kunci untuk mencegah penyebaran virus apabila pesakit dirawat di rumah.

CEO Pusat Galen, Azrul Mohd Khalib berkata, kunci bagi mengawal pandemik ialah memastikan orang ramai mendapat maklumat tepat untuk melindungi diri mereka dan komuniti mereka.

“Memastikan individu yang positif, tetapi asimtomatik mematuhi arahan kuarantin dan SOP sangat penting memandangkan penempatan di fasiliti kuarantin kini tidak dapat dibuat.

“Kita akan berdepan cabaran sama yang dihadapi negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, yang menyaksikan individu melanggar arahan kuarantin atau tidak mematuhi SOP,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, orang ramai tidak boleh bergantung pada langkah yang diambil oleh kerajaan semata-mata, tetapi perlu mengambil inisiatif dan menyediakan protokol sanitasi di tempat kerja, sekolah, malah di rumah, selain mengikut SOP.

“Di rumah dan himpunan keluarga, selalunya tiada apa-apa yang boleh mengurangkan kemungkinan berlaku jangkitan.

“Ramai bersikap seolah-olah mereka memerlukan perlindungan daripada penyakit kerana berada bersama keluarga dan kawan.

“Kerap mencuci tangan, membersihkan diri dan memakai pelitup muka mesti diamalkan walaupun dalam situasi seperti itu, tanpa mengira betapa janggalnya langkah itu.

“Kita berada dalam gelombang ketiga, tetapi kita bersikap seolah-olah darurat kesihatan awam itu sudah berakhir.”

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata pesakit yang dirawat di rumah mesti diperiksa secara berkala oleh pihak berkuasa, selain menambah bahawa sistem yang betul untuk memantau mereka perlu ada.

Beliau berkata, rawatan di rumah mungkin tidak sesuai untuk sesetengah pesakit, dengan mengambil kira faktor seperti saiz rumah yang kecil atau jumlah penghuni yang ramai.

Justeru kata beliau, KKM perlu menentukan tahap risiko yang dihadapi.

“Oleh sebab kes Covid-19 semakin meningkat, Putrajaya perlu mengambil langkah menambah jumlah pusat kuarantin.

“Penalti lebih berat mungkin juga diperlukan bagi memastikan pesakit tidak mengingkari arahan kuarantin di rumah.

“Restoran, pusat beli-belah dan tempat awam juga semakin sesak. Kompaun atau penalti lebih berat mungkin perlu dikenakan ke atas individu ingkar SOP,” katanya kepada FMT.

Sama ada kita ada atau tidak ada vaksin, beliau berkata, hakikatnya virus itu mungkin akan ada sepanjang 2021, malah lebih lama lagi, namun menambah bahawa hidup mesti diteruskan.

“Sekiranya wujud disiplin yang ketat, sekolah, tempat kerja dan tempat awam lain boleh terus dibuka. Itu tidak mustahil, tetapi semua pihak mesti mematuhinya. “Sekiranya orang ramai bimbang mengenai pekerjaan mereka, ekonomi dan peningkatan kes setiap hari, maka mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP.”

Azrul berkata, tiada jalan pintas untuk menggalakkan pematuhan SOP dan orang ramai perlu diberi pendidikan dan maklumat tepat.

Beliau berkata, Malaysia “kurang melabur” dalam literasi kesihatan sejak beberapa dekad lalu.

“Orang ramai tidak akan mematuhi sesuatu yang kurang difahami secara konsisten.

“Menghukum mereka kerana itu tidak wajar dan tidak adil. Contohnya apabila ahli politik kita sendiri, yang umumnya mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah, turut melanggar SOP secara terbuka.

“Anda tidak boleh menghukum orang ramai, tetapi melepaskan ahli politik, anggota kerajaan dan penjawat awam,” katanya.

Leave a Reply