Angin kuat di jambatan P Pinang ancam nyawa penunggang motosikal

Kira-kira 20,000 penunggang motosikal menggunakan jambatan Pulau Pinang setiap hari, dan nyawa mereka dalam bahaya kerana angin lintang yang kuat dan angin dari kereta yang bergerak laju. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Sebanyak 1,370 kemalangan dilaporkan di jambatan Pulau Pinang tahun lalu, dengan 155 daripadanya melibatkan penunggang motosikal.

Lapan penunggang motosikal dilaporkan terbunuh.

Di jambatan kedua pula, 126 kemalangan dicatatkan tahun lalu, 55 daripadanya melibatkan penunggang motosikal.

Kira-kira 20,000 penunggang motosikal menggunakan jambatan Pulau Pinang setiap hari, sementara 2,000 lagi menggunakan jambatan kedua, dan bukan trafik yang sesak sahaja yang membahayakan mereka.

Goh Bok Yen,

Angin lintang yang kuat, kadang-kadang pada kelajuan 10 knot (18.5kmh), boleh menyebabkan penunggang motosikal mudah hilang kawalan.

Ini ditambah pula tiupan angin daripada kereta yang bergerak laju serta penunggang motosikal lain.

Pengguna motosikal jenis “kapcai” boleh menjadi mangsa di jambatan terbabit.

Terdapat kes penunggang motosikal terjatuh melepasi celah-celah pagar sisi jambatan dan terjunam ke laut.

Pakar menggesa kajian dibuat mengenai kesan angin lintang di jambatan berikutan meningkatnya kebimbangan berhubung penunggang motosikal jatuh kerana angin laut yang kuat dan kereta yang menggunakan jambatan terbabit.

Masalah itu dijangka menjadi bertambah buruk susulan penamatan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sebelum ini digunakan untuk mengangkut kenderaan.

Kini hanya sebuah feri disediakan untuk motosikal dan kenderaan dua roda lain.

Letih kerana terpaksa berbaris panjang untuk menaiki feri, lebih ramai penunggang motosikal dijangka menggunakan jambatan.

Ahmad Hilmy Abdul Hamid.

Malah, penunggang basikal turut dilihat menggunakan jambatan baru-baru ini.

Gesaan supaya penyelesaian kekal dicari susulan peningkatan jumlah kemalangan membabitkan motosikal, walaupun tidak berkait dengan angin lintang secara langsung, semakin meningkat.

Pakar pengangkutan, Goh Bok Yen berkata, semua jambatan dibina mengikut spesifikasi tertentu, dengan mengambil kira muatan lalu lintas dan jenis kenderaan yang menggunakannya, termasuk isu angin lintang.

Beliau berkata, dari semasa ke semasa, pihak berkuasa biasanya akan mengkaji semula unjuran lalu lintas dan membuat penyesuaian selepas berunding dengan jurutera reka bentuk jambatan.

“Sekiranya orang ramai mendakwa terdapat angina lintang yang kuat, maka sudah tiba masanya pihak berkuasa berunding dengan jurutera bagi mengatasi masalah itu.

“Kajian perlu dibuat berdasarkan keadaan sekarang, iaitu muatan dan angina lintang, dan selepas itu menyesuaikannya dengan penyelesaian kejuruteraan,” katanya kepada FMT.

Ahmad Hilmy Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, intensiti angin lintang mungkin telah meningkat sejak jambatan pertama dibina 35 tahun lalu, dengan perubahan iklim menjadi penyebab utama.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu dalam jangka masa pendek, penunggang motosikal perlu dilarang menggunakan jambatan ketika keadaan angin tidak sesuai untuk perjalanan.

Sistem amaran awal angin lintang juga perlu diwujudkan untuk memberi amaran kepada pengguna motosikal.

“Perlu wujud kaedah pemantauan keadaan angin tertentu dan penunggang perlu diberi peringatan yang mencukupi.

“Peraturan paling mudah ialah tidak melawan elemen itu.

“Apabila ada angin kencang, basikal tidak boleh berada di jambatan. Saya fikir pada masa ini lakukan pemantauan dan beri amaran kepada mereka,” katanya.

Hilmy berkata dalam jangka masa panjang, penghadang angin boleh dipasang di kedua-dua jambatan itu, dengan mengambil kira aerodinamik dan kajian mendalam mengenai kesan semasa ke atas kenderaan ringan, termasuk motosikal dan kereta.

Jurutera awam, Wong Loo Min berkata, secara teknikal trafik di jambatan Pulau Pinang sepatutnya boleh menahan angin lintang kerana faktor itu memang diambil kira ketika jambatan tersebut dibina.

Beliau berkata, secara idealnya, perlu ada lorong berasingan untuk motosikal, tetapi dengan adanya tiga lorong untuk kereta di jambatan pertama sekarang, perkara itu tidak mungkin (dibuat).

Beliau berkata, bahu (jalan) boleh dikhaskan kepada motosikal kerana ramai memang menggunakannya sekarang.

Wong berkata, motosikal juga perlu dipandu pada kelajuan lebih rendah bagi mengurangkan kesan angin lintang.

“Sebaik-baiknya mereka perlu mempunyai lorong sendiri yang terlindung daripada elemen itu,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker