Amaran cuaca buruk dan waspada di beberapa negeri



Sebaran :

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa negeri seluruh negara sehingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan diramal berlaku di Kelantan membabitkan Daerah Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.

Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat pula dijangka melanda seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan beberapa daerah di Perak iaitu Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar serta Kinta.



”Dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung dan Sabah.

Manakala kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai Barat Semenanjung, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam,” kata kenyataan itu.

Keadaan itu turut mendorong berlaku banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur tanah yang tidak kukuh.



Sementara itu, MetMalaysia juga meramalkan angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 60km/jam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dalam tempoh berkenaan.

“Di perairan Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 50 km/jam dengan ombak sehingga 3.5 meter dijangka boleh berlaku dalam tempoh sama, dan kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” katanya.

— BERNAMA




Sebaran :


Leave a Reply