Henti kritik sesama sendiri, biar Majlis Presiden PN buat keputusan – Razlan


Pemimpin parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berhenti membuat kenyataan terbuka mengkritik rakan sehingga menguris hati sesama sendiri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Razlan Rafii berkata, bagi mengelak kecelaruan daripada berlaku, ketua parti hendaklah dibenarkan memainkan peranan mereka dalam menyuarakan isu berbangkit menerusi Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).

“Saya sarankan sebelum kita menuju pilihan raya umum (PRU) setiap ketua perlu memainkan peranan untuk membuat keputusan melalui Majlis Presiden.

“Ahli dan pemimpin lain perlu kurangkan kenyataan melalui media dan elak daripada menguris hati sesama kita.

“Biarlah pucuk pimpinan melalui Majlis Presiden yang diwujudkan itu berbincang dan apa juga keputusan yang mereka buat kita perlu ikut,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas isu perbezaan pendapat membabitkan pemimpin parti dalam kerajaan PN.

Katanya, segala keputusan dicapai menerusi Majlis Presiden perlu senada bagi mengelak ahli keliru mengenai hala tuju setiap parti.

“Bukan hanya UMNO, tetapi termasuk PAS, PPBM dan parti lain.

“Saya berharap Majlis Presiden (PN) lebih aktif. Kalau boleh seminggu sekali buat mesyuarat untuk dapatkan kata sepakat.

“Apabila kata sepakat dicapai, semua jentera UMNO, PAS, PPBM dan lain-lain dapat sampaikan hasrat Majlis Presiden kepada rakyat dan ahli,” katanya.

Razlan berkata, asas pembentukan kerajaan PN adalah penyatuan orang Melayu khasnya setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal mengurus hal berkaitan kelompok itu dan Islam.

Justeru katanya, parti Melayu dalam PN perlu bersatu dan mengelak perpecahan, termasuk dalam isu pembahagian kerusi dan parti mana lebih dominan bagi mengelak orang Melayu hilang keyakinan.

“Untuk kita terus bergerak ke hadapan, kita (parti Melayu dalam PN) tidak boleh keluar daripada kerangka sokongan majoriti orang Melayu secara maksimum,” katanya.

Pada 17 Dis lepas, parti yang membentuk kerajaan PN bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan sebuah Majlis Presiden bagi mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan selain bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri, yang juga Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata, susulan penubuhan majlis yang akan dianggotai ketua parti terbabit, langkah juga akan diambil bagi menggubal piagam melibatkan semua parti. FMT

UMNO jangan ‘tembak’ sesama sendiri – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker