‘Dimaki, Kena Rompak..Kadang-Kadang Untuk Kejar Komisen, Kami Tidak Makan Tapi Kami Redah Jugak

“Bukan setakat dimaki sahaja bang, saya pernah juga dirompak oleh sekumpulan lelaki ketika saya dalam perjalanan menghantar bungkusan kepada pelanggan.”

Begitulah luahan seorang penghantar barang dari syarikat J&T yang hanya mahu dikenali sebagai Nafiz, 24, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Nafiz berkata, orang ramai terutamanya pe­langgan hanya nampak kelemahan penghantar-penghantar barangan sahaja selama ini, namun hakikatnya ramai yang tidak tahu apa yang telah dilalui oleh mereka semua.



“Kalau dimaki, saya rasa hampir sebulan tu memang akan ada sekali, pelanggan hanya mahu barang mereka cepat sampai. Kami sedaya upaya akan memberikan perkhidmatan terbaik sebab inilah punca rezeki dan periuk nasi kami.

“Masalah jika berlakunya kelewatan kadang-kadang alamat yang diberikan tidak lengkap. Ada juga kalau kami hubungi pe­langgan mereka tidak menjawab dan tidak menghubungi kami balik, sehabis mungkin kami cuba untuk cepatkan penghantaran, apa yang kami dapat adalah makian,” jelasnya.

Tambahnya, jarang jumpa pe­langgan yang menghargai pekerjaan mereka kerana berpendapat pekerjaan sebagai penghantar barangan adalah pekerjaan low class tidak seper­ti bekerja di pe­jabat dalam bilik berhawa dingin.



“Bukan tiada yang hargai, tapi jarang. Lepas ambil barang yang kami hantar kadang-kadang tu ucapan terima kasih pun tidak apatah lagi senyuman.

“Saya pernah dirompak oleh sekumpulan lelaki di satu kawasan perumahan setinggan, masa itu saya tengah cari sebuah rumah. Saya ditahan dan salah seorang daripada mereka acukan pisau kepada saya.

“Mereka ambil wang tunai yang ada dan dalam wang tunai itu ada wang yang dibayar oleh pelanggan untuk caj penghantaran, terpaksa saya gantikan semula wang tersebut kepada syarikat,” jelasnya yang pernah mengalami tiga kali kemalangan ketika menghantar barangan.



Sementara itu, bagi penghantar makanan dari syarikat Food Panda, Mohd. Rostam Tajuddin, 35, pula berkata, apa yang orang ramai lihat dalam gambar ­mahupun video yang tular ­berkenaan kesusahan mereka ketika menghantar pesanan jelasnya, itulah yang mereka hadapi saban hari.

“Kadang-kadang untuk ­kejar komisen, kami tidak makan. Maklum sajalah gaji kami bukan besar mana. Jika ada mahu guna perbelanjaan lebih, kami ‘pulun’ banyak pesanan.

“Dalam hujan lebat, panas terik semua kami redah demi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Mungkin ada segelintir daripada kami yang kerja main-main. Tapi kebanyakan daripada kami memang mahukan wang ­untuk menyara keluarga,” jelas­nya yang kehilangan pekerjaan ­sebagai warga media setelah syarikatnya sebelum ini gulung tikar.

Sumber :Kosmo



[VIDEO] Rider Grabfood maut, motosikal langgar lubang di bahu jalan raya

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker