UMNO Perlis mantapkan kerjasama Pas, Bersatu

Shahidan Kassim

 

ARAU: UMNO negeri menyatakan pendirian teguh untuk memperkasakan hubungan dengan Pas di dalam Muafakat Nasional (MN) selain memantapkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN).

Pendirian UMNO Perlis itu hadir di saat banyak kawasan di negeri-negeri lain mengemukakan usul agar parti itu tidak bekerjasama dengan Bersatu termasuk gesaan menolak sokongan pada kerajaan PN.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, pihaknya sentiasa membuka ruang kerjasama dengan mana-mana parti dan menolak sebarang usaha ke arah perpecahan khususnya dalam kalangan parti-parti Melayu Islam.

Dalam masa sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga menempelak sesetengah pemimpin yang bersungguh-sungguh mahu menolak kerjasama dengan Bersatu sekali gus bakal menyebabkan kerajaan PN tumbang.

“Pasal apa hendak tolak kerjasama dengan Bersatu supaya hendak pilihan raya cepat dan bolehkah kita menang? Realitinya adalah kita sedia hendak hadapi pilihan raya. Kita kerjasama dengan Pas dan Pas juga telah menetapkan pendirian tegas akan terus bekerjasama dengan Bersatu.

“Ada yang mengeluarkan kenyataan tidak menentu, buat apa hendak bermusuh dengan sebuah parti Melayu. Sebaik-baiknya kita mantapkan perpaduan bukan menambah musuh. Kita hendak menang dalam satu gagasan politik Melayu yang besar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Leave a Reply