Saya hilang dua anak, tujuh cucu serentak


Simanggang: Luluh hati seorang ibu melihat satu persatu mayat dua anak perempuan serta tujuh cucunya dikeluarkan dari kereta yang terjunam ke dalam Sungai Batang Lupar di pengkalan feri Triso, Beladin, di Betong, semalam.

Munah Agon, 58, berkata, pada mulanya dia berharap agar ada antara mereka yang masih bernyawa, apatah lagi apabila melihat ada orang awam yang berusaha memberi bantuan pernafasan.

Namun harapannya hampa, apabila diberitahu semua ahli keluarganya itu disahkan sudah meninggal dunia.

“Kami menaiki dua kenderaan dari Kapit dan beberapa saat sebelum kejadian itu, saya keluar dari kereta yang saya naiki kerana hendak membuang air kecil. Ketika itu saya melihat kereta yang dipandu anak saya tiba-tiba meluncur laju menghala ke arah feri.

“Tidak lama selepas itu, saya tergamam seketika apabila melihat kereta yang dipandu anak saya itu jatuh ke dalam sungai. Saya amat terkejut kerana kejadian itu berlaku di depan mata saya” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Sri Aman, di sini, hari ini.

Munah berkata, sebelum kejadian itu, salah seorang cucunya yang menaiki kereta sama dengan sembilan mangsa, keluar dari kenderaan itu dan masuk ke dalam kereta yang dinaikinya bersama enam lagi ahli keluarga.

“Mujur cucu saya, (Fatihah Najwa Mohamad Hamzah, 10) keluar dan masuk ke dalam kereta yang saya naiki. Kalau tidak, sepuluh ahli keluarga saya yang menjadi mangsa,” katanya.

Munah berkata, mereka sekeluarga menaiki dua kenderaan dari Kapit pagi semalam untuk ke Kuching bagi menghantar dua cucu perempuannya, Khairunnisa Mohamad Hamzah, 14, dan Nor Shuhada Mohamad Hamzah, 16, yang akan mengikuti pengajian di sebuah madrasah di Semariang.

Katanya, ketika memulakan perjalanan dari Kapit, anaknya, Siti Aishah Abdullah, yang memandu kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger itu, namun tiba di pertengahan perjalanan, seorang lagi anaknya iaitu Lorna Ting, pula yang memandu sehingga tragedi itu berlaku.

Kejadian kira-kira jam 3 petang semalam itu mengorbankan Lorna bersama dua anaknya, Alvin Phang, 12 dan Wallace Phang, 7.

Turut terkorban Siti Aishah Abdullah, 36, bersama lima anaknya, Nor Shuhada Mohamad Hamzah 16; Khairunnisa, 14; Mohd Aiman, 7; Mohd Mustaqim, 5, dan Mohd Ahmad, 4 bulan.

“Saya masih tidak menyangka sembilan ahli keluarga saya pergi serentak selepas suami saya meninggal dunia baru-baru ini,” katanya dengan nada sebak kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut berada di Rumah Mayat Hospital Sri Aman, hari ini.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit turut menghulurkan bantuan kewangan untuk menguruskan pengebumian semua mangsa.

Jenazah Siti Aishah bersama lima anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Aman hari ini, manakala mayat Lorna bersama dua anaknya dibawa balik ke Sibu, hari ini.

Sementara itu, suami Siti Aishah, Mohamad Hamzah Razali, 43, berkata, seorang anaknya, Mohd Aiman berkelakuan agak pelik dan memberitahu mereka akan mati, sehari sebelum mereka bergerak ke Kuching.

“Saya juga merasa pelik apabila anak saya itu berkata seperti itu manakala kakak-kakaknya juga ada menegurnya, tetapi dia tersenyum saja selepas itu,” katanya.

Mohamad Hamzah berkata, pemergian isteri serta lima anaknya itu dugaan cukup berat baginya, namun beliau reda dengan pemergian mereka.

“Itu ketentuan Ilahi, saya menerimanya dengan tabah kerana ia sememangnya pengakhiran kehidupan kita.

“Kini hanya tinggal dua lagi anak saya iaitu Fatihah Najwa, 10 dan Mohd Imran, 13,” katanya. HM

Leave a Reply