Kit Siang Selar Mahathir, DAP berjaya dapat 42 kerusi, Bersatu Dapat Berapa?
PETALING JAYA: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menyelar kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa menuduh parti itu tidak akan berjaya memenangi lebih 18 kerusi Parlimen tanpa bantuan bekas perdana menteri itu.
Lim berkata, sejarah parti itu membuktikan bahawa DAP pernah memenangi 24 kerusi pada tahun 1986, 20 kerusi pada 1990, 28 kerusi pada 2008, dan 38 kerusi pada 2013 sebelum memenangi 42 kerusi pada 2018.
“Saya akui Mahathir sedikit sebanyak membantu kemenangan 42 kerusi Parlimen DAP dalam pilihan raya umum 2018, tetapi berkata bahawa DAP tidak akan berjaya memenangi lebih daripada 18 kerusi (Parlimen) adalah salah sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
‘Pi baliklah’, Dr Mahathir sindir sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ Anwar
Terdahulu, Mahathir dalam wawancara mendakwa Pakatan Harapan (PH) tidak akan meraih sokongan orang Melayu pada pilihan raya akan datang sekiranya gabungan itu enggan bekerjasama dengan beliau.
Mahathir berkata, penglibatannya bersama PH semasa PRU-14 membantu meningkatkan sokongan orang Melayu kepada gabungan itu.
“DAP yang tidak pernah memperoleh lebih daripada 18 kerusi, mendapat 42 kerusi kerana sokongan orang Melayu yang saya bawa,” kata Mahathir.
Lim berkata, pertambahan kerusi Parlimen kepada DAP tetap berlaku walaupun parti itu dimomokkan dengan pelbagai penipuan, fitnah, dan berita palsu, kononnya anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja selama lima dekad lepas.
“DAP kekal komited sejak penubuhannya pada 1966 kepada cita-cita masyarakat Malaysia berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.
“DAP juga tidak pernah sama sekali menentang mana-mana kaum ataupun agama mahupun menentang sistem raja berpelembagaan di Malaysia,” katanya.
PRK Slim Bukti Ampuh, Orang Melayu Telah Tolak Mahathir