Tindakan AS ke atas Sime Darby tidak mengejutkan – Khairuddin

Terkini di My KMU !!!!---->

Tindakan drastik Amerika Syarikat (AS) menyekat kemasukan minyak sawit Sime Darby Plantation Berhad (SDP) ke pasaran negara itu bukan satu perkara yang mengejutkan kerana tindakan serupa pernah dilakukan ke atas FGV Holdings Bhd (FGV) atas dakwaan yang sama.

Bagaimanapun, Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi berkata, tindakan itu tidak memberi kesan besar ke atas prestasi kewangan dan operasi syarikat itu, mengambil kira Kerajaan AS mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas FGV.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yakin SDP juga akan membantah dan menolak dakwaan tidak berasas tersebut.
”Kementerian berpandangan bahawa pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) sememangnya berhak untuk mengeluarkan WRO ke atas eksport minyak sawit oleh mana-mana pihak ke negara berkenaan.

”Walau bagaimanapun, kementerian tidak bersetuju dengan tindakan drastik yang dibuat oleh AS tanpa memberi peluang terlebih dahulu kepada syarikat untuk membuktikan bahawa dakwaan yang dilemparkan mungkin tidak berasas sama sekali,” katanya di sini.

Semalam, CBP mengenakan sekatan terhadap produk dari syarikat pengeluar minyak sawit SDP kerana bimbang mengenai isu buruh paksa.

Pengeluaran Withold Release Order (perintah sekatan) terhadap minyak sawit Sime Darby Plantation didasarkan pada maklumat yang secara munasabah menunjukkan kehadiran kesemua 11 petunjuk Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) tentang buruh paksa dalam proses pengeluaran SDP, kata CDP.

Dengan perintah itu, CBP memaklumkan pegawainya di semua pelabuhan masuk AS akan menahan minyak sawit dan sebarang produk yang mengandungi minyak sawit yang dihasilkan oleh Sime Darby dan entiti berkaitan di Malaysia
Mengulas mengenai dakwaan itu, Mohd Khairuddin mengakui pernah berlaku isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara, namun begitu, kes terbabit amat terpencil berdasarkan kajian yang pernah dilaksanakan pada tahun 2018.

Hasil kajian ini juga telah dipanjangkan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada awal bulan lalu dan berdasarkan kajian tersebut juga, kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada pihak industri supaya lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara ini.

Bagaimanapun Kerajaan Malaysia melalui kemneterian ini komited sekiranya tuduhan yang dibuat oleh pihak AS ini adalah benar, tindakan sewajarnya dan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat yang terlibat dalam isu buruh paksa ini. MG

Leave a Reply