Penurunan Kadar Pengambilan ‘Vaksin Influenza’ Amat Membimbangkan

 

JUMLAH kes influenza dikenali umum sebagai flu, biasanya meningkat semasa musim sejuk di negara bermusim dan ketika musim hujan di negara tropika.

Malangnya, disebabkan perhatian dunia kini tertumpu kepada pandemik Covid-19, terdapat penurunan dalam penggunaan vaksin influenza.

Ada sesetengah pesakit mempunyai tanggapan salah, mengatakan influenza hanyalah selesema teruk.

Sesetengah turut berpendapat, wang tidak patut dibelanjakan untuk sesuatu yang cuma memerlukan sedikit rehat dan paracetamol.

Sebilangan lagi lebih tidak mempercayai vaksin, walaupun keselamatan dan keberkesanan vaksin teruji dan digunakan oleh pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia.

 

PENTING
Vaksin influenza, memainkan peranan penting mencegah perkembangan penyakit serius dan komplikasinya.

Ini bukan sahaja benar bagi individu mengidap penyakit paru-paru seperti asma dan emfisema, bahkan lagi kanak-kanak kecil dan warga tua, begitu juga bagi yang menghidap penyakit kronik lain.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan vaksinasi influenza tahunan untuk kumpulan berisiko tinggi. Kumpulan ini adalah:
 Wanita hamil pada sebarang peringkat kehamilan
 Kanak-kanak enam bulan hingga lima tahun
 Warga emas (berusia 65 tahun ke atas)
 Individu menghidap penyakit kronik
 Anggota penjagaan kesihatan

 

BUKAN SEKADAR SELSEMA
Influenza bukanlah sekadar selesema teruk.

Ia adalah penyakit menjejaskan kehidupan lima juta orang setiap tahun, dengan potensi komplikasi seperti pneumonia, keradangan jantung dan otak, sepsis dan kerosakan organ-organ tubuh badan lain.

Ia menyebabkan sehingga 650,000 kematian setiap tahun akibat masalah pernafasan.

Di samping itu, terdapat beban penyakit ketara melampaui penderitaan fizikal. Ini termasuk tekanan menjaga insan tersayang, terpaksa mengambil cuti untuk menjaga ahli keluarga sakit dan berpotensi kehilangan pekerjaan kerana hal berkaitan.

Ia menjadi berat bagi individu dan pada skala lebih luas, beban sangat besar kepada sistem kesihatan negara, yang sudahpun meruncing disebabkan pandemik ini.

Mengakui keperluan bagi mencegah influenza daripada merebak dalam masyarakat, Belanjawan 2021 memberikan pengecualian cukai sehingga RM1,000 bagi vaksinasi untuk kegunaan peribadi, begitu juga pasangan dan anak-anak.

FUNGSI
Secara ringkasnya, vaksin influenza berfungsi meningkatkan kebolehan sistem pertahanan tubuh.

Ia membantu badan menyediakan antibodi untuk mempertahankan diri daripada serangan sebenar. Ia bukannya memasukkan virus ke dalam badan kita.

Walaupun secara umumnya vaksin ini diterima dengan sangat baik, ia boleh menyebabkan demam ringan dan ketidakselesaan pada tempat suntikan.

Ketika ini, hanya dua peratus rakyat Malaysia mendapat vaksinasi influenza.

Bermakna ada peluang untuk meningkatkan tahap perlindungan terhadap patogen saluran pernafasan yang telah lama membelenggui kita. Sementara kita menantikan vaksin untuk virus SARS-CoV-2, kita tidak boleh mengabaikan untuk memanfaatkan vaksin yang sudahpun ada bagi melindungi diri sendiri dan orang yang kita sayangi.

—————-
PENULIS adalah Doktor Pakar Perunding Respiratori (Hospital Pantai Kuala Lumpur) dan Pengasas Asthma Malaysia.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker