Curi emas ibu untuk bayar baiki motosikal kekasih

Share

KLANG – Gara-gara cinta, seorang gadis tergamak mencuri 10 jenis barang kemas milik ibunya sendiri bagi membayar kos membaiki motosikal kekasihnya dalam kejadian di Taman Desawan di sini semalam.

Kejadian tersebut disedari pukul 11 pagi oleh ibu mangsa berusia 53 tahun selepas mendapati barang kemas miliknya bernilai lebih RM10,000 hilang selepas disimpan di dalam bilik sembahyang rumahnya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa yang merupakan suri rumah membuat laporan polis menyatakan antara barang kemas yang hilang termasuk enam bentuk cincin, tiga pasang subang, dua utas rantai leher dan tiga gelang tangan.

Katanya, siasatan kemudian mendapati barangan kemas itu telah dicuri oleh anak perempuan mangsa sendiri yang berusia 17 tahun.

“Remaja perempuan itu kemudiannya menyerahkan barang kemas itu kepada kekasihnya berusia 18 tahun untuk dipajak dan memperoleh sebanyak RM5,550.

“Hasil pajakan itu digunakan bagi menampung kos membaiki motosikal dan telefon bimbit serta hutang remaja perempuan itu kepada kekasihnya berjumlah RM800,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kata beliau, susulan itu polis kemudiannya menahan remaja perempuan tersebut pukul 8.30 malam tadi di rumahnya sebelum menahan kekasihnya dua jam kemudian di Taman Pandamaran Jaya.

Shamsul Amar menambah, pasangan remaja itu didapati telah bercinta selama setahun.

“Kita turut merampas empat surat pajak gadai daripada suspek dan ujian air kencing mendapati mereka negatif.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. K Online

Safiey Ilias Nak Baiki Payudara Dan Mata Pula..”Kali Ini Nak Buat Kuyu-Kuyu Sikit ala Patung Barbie”.

Leave a Reply