Jangan Syok Sendiri, ‘PKPB, PKPP sama sahaja’, KKM Perlu Nilai Semula SOP – Pakar

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melakukan penilaian semula terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Gesaan itu dibuat Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohd yang berpendapat SOP di kawasan yang dikenakan PKPB dan PKPP seperti tidak ada bezanya.
“Kawasan PKPB seperti di Selangor, zon merah dan sebagainya, saya merasakan syarat-syarat PKPB itu perlu diteliti sekali lagi.
“Saya merasakan bahawa kawasan yang dilaksanakan PKPB dan PKPP tidak banyak bezanya, macam sama sahaja.
“Semua orang bebas keluar ke merata-rata tempat, kedai-kedai semua dibuka. Jadi, saya rasa syarat-syarat ini harus diteliti semula,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Mengambil contoh premis perniagaan, Nurul Azmawati mencadangkan SOP yang lebih ketat dilaksanakan dan tempoh operasi yang lebih singkat di kawasan PKPB.
Menurutnya, tujuan utama SOP dikuatkuasakan adalah untuk menyekat pergerakan orang ramai dan hanya dibenarkan keluar apabila perlu sahaja.
Ditanya berkenaan cadangan supaya memanjangkan tempoh kuarantin susulan penularan varian baharu virus COVID-19, Nurul Azmawati berkata, buat masa ini tempoh 10 hari masih memadai.
“Jika kita tengok kepada varian mutasi sebelum ini iaitu mutasi D614G, mutasi itu juga berlaku di spike protein dan ia juga menyebabkan kebolehjangkitan yang lebih tinggi.
“Namun, ia tidak mempengaruhi dari segi inkubasi dan juga gejala lain. Saya rasakan varian baharu ini juga sama,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan lebih banyak kajian perlu dilakukan terhadap varian baharu yang dikesan di Britain dan beberapa negara lain untuk lebih memahami sifat virus tersebut.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker