10,000 unit rumah untuk belia dibina di bawah program Residensi Prihatin

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan akan membangunkan 10,000 unit rumah mampu milik untuk golongan belia pada harga di bawah RM200,000 seunit, menerusi program Residensi Prihatin, kata Menterinya Annuar Musa.

Beliau berkata, ia merupakan pusingan pertama program berkenaan dan 1,000 unit akan dibina di Labuan, 3,000 unit di Putrajaya dan 6,000 unit di Kuala Lumpur.

“Kerja pembinaan dijangka bermula pada suku kedua 2021 dan akan siap dalam tempoh 24 bulan jika menggunakan kaedah teknologi modular atau 36 bulan melalui kaedah konvensional.

“Walaupun dibina dengan harga yang mampu milik, namun kualiti pembinaannya dan kemudahan asas bangunan perumahan tersebut tidak akan dikompromi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan Wilayah Cakna 3.0, hari ini.

Annuar berkata, lima projek di Putrajaya di bawah skim Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Presint 5, 7, 14 dan 19 yang dibatalkan sebelum ini akan diteruskan di bawah program Residensi Prihatin.

Beliau berkata, mereka yang berminat boleh memohon melalui portal Kementerian Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, Annuar menyerahkan sumbangan baucar Kembali ke Sekolah bernilai RM100 seorang kepada 1,000 pelajar di bawah inisiatif Wilayah Cakna 3.0.

Jumlah keseluruhan di Wilayah Persekutuan yang akan menerima bantuan di bawah inisiatif Wilayah Cakna 3.0 itu ialah seramai 26,000 orang.

Annuar yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) turut ditanya mengenai kedudukan Tengku Adnan Mansor sebagai Ahli Parlimen Putrajaya selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta berkata, status itu masih tiada perubahan kerana Tengku Adnan berjaya mendapatkan perintah penangguhan pelaksanaan hukuman.

“Bila dia berjaya mendapat perintah penangguhan pelaksanaan hukuman, tidak ada apa-apa berlaku ke atasnya, iaitu segala hak beliau sebagai Ahli Parlimen kekal. Jadi statusnya tidak ada apa-apa perubahan sehingga kini,” katanya.

Mahkamah Tinggi pada 21 Dis menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap Tengku Adnan selepas beliau didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagaimanapun membenarkan permohonan Tengku Adnan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan diputuskan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker