Pengeluaran KWSP i-sinar : Kerajaan Tak Yakin Pada Rakyat ?
Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkongsi rasa terkilan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak memberikan secara tunai pengeluaran akaun 1 Kewangan Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 sebagaimana dijanjikan sebelum ini.
Jelas beliau, kerajaan seharusnya yakin dengan kemampuan rakyat dalam menguruskan kewangannya kerana jikalau diberikan berperingkat-peringkat ia juga dapat menjejaskan perancangan rakyat sendiri.
“Apa nak takut sangat kononnya rakyat kita boros tak tahu jaga duit dan kita tidak boleh ada pemikiran macam itu. Kita kena ada keupayaan dan keyakinan kepada rakyat, mereka ini mampu mengawal wang.
“Kalau kita boleh beri RM10,000 dan berikan ‘lumpsum’ terus, mereka boleh ‘manage’ dan boleh buat ‘projection cash flow’ (aliran tunai unjuran). Kalau diberi bulan per bulan ini bermakna telah merencatkan perancangan rakyat.
“Kalau diberi RM1,000 atau RM2,000 setiap bulan ia menunjukkan rakyat seolah-olah tidak pandai dalam menguruskan wang. Rakyat kita ni bijak dalam menguruskan wang, jadi kita kena ada keyakinan kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online, hari ini.
Tambah Shah Headan yang juga Setiausaha UMNO Negeri Pulau Pinang, sewajarnya kerajaan yakin dengan rakyat sebagaimana mereka (rakyat) yakin kerajaan dapat mengawal berbilion-bilion ringgit dalam menguruskan kewangan negara.
“Rakyat telah berikan kepercayaan kepada kerajaan mengawal berbilion-bilion hasil negara, tapi rakyat sendiri tak diberi RM10,000 ‘one-off’ duit mereka. Ini menunjukkan kerajaan tidak ada keyakinan kepada rakyat,” jelasnya.
Ujar Shah Headan lagi, sebenarnya UMNO kenal rakyatnya dan yakin bahawa mereka bijak mengurus kewangan jika menerima secara tunai dan tentunya akan diaplikasi secara baik yang akhirnya mampu menambah pendapatan ekonomi kepada negara.
“Sebab itu UMNO yakin dengan rakyat. UMNO tahu kemampuan pendidikan rakyat dan kepimpinan UMNO berani mengambil risiko demi maruah UMNO. UMNO sudah lama dengan rakyat dan kenal rakyat.
“Saya merasa simpati kepada rakyat, seolah-olah kerajaan PN tidak percaya kepada rakyat, cuma RM10,000 bukannya RM10 juta,” tegasnya.
Terdahulu, permohonan i-Sinar KWSP mula dibuka secara dalam talian dengan melibatkan dua kategori kriteria kelayakan pemohon membabitkan lapan juta ahli. Ia tertakluk kepada baki simpanan akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini. – UMNO Online
You must be logged in to post a comment.