Isu KWSP timbul kerana rakyat sudah tidak ada duit



Sebaran :

Struktur perbelanjaan kerajaan perlu diubah agar kerajaan dapat berfungsi dengan lebih baik bagi membantu rakyat berdepan krisis kewangan disebabkan pandemik Covid-19.

Penyelidik Kanan DM Analytics, Zouhair Rosli berkata, bantuan yang diperolehi rakyat tidak mencukupi sehingga membawa kepada isu pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Justeru, katanya, fokus lebih besar perlu diberikan terhadap aliran perbelanjaan hutang negara untuk keperluan yang lebih wajar.



“Isu KWSP ini timbul kerana rakyat sudah tiada duit. Semua bantuan yang ada kaitan dengan Covid-19 sudah tiada pada tahun hadapan. Jadi golongan yang terjejas ini tidak dapat bantuan yang secukupnya.

“Tak cukup bukan bermakna saya suruh beri (bantuan) saja. Tapi struktur cara belanja perlu diubah. Kajian daripada luar negara sekalipun menunjukkan bahawa dalam satu struktur ekonomi, semasa jadinya krisis satu-satunya institusi yang mampu untuk gerakkan kembali ekonomi adalah kerajaan.

“Negara lain sudah bagi bantuan bulanan semasa Covid-19. Perbelanjaan kita untuk bantuan sosial hanya 0.3 peratus iaitu kurang satu peratus daripada kadar keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita. Sedangkan di peringkat global ialah 3.5 peratus dan negara maju sebanyak 8.8 peratus,” katanya selaku panelis Wacana Sinar Harian siri 214 bertajuk ‘I-Sinar: Kenapa Tak Lulus Tanpa Syarat?’ yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.



Wacana dikendalikan oleh Harleena Pahlavy itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu pakar kewangan, Rohani Mohd Shahir dan penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Sementara itu, Zouhair berkata, isu pengeluaran KWSP tidak sepatutnya wujud sejak awal.

Bahkan katanya, kerajaan juga tidak wajar lepas tangan dengan mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak ada wang.



“Isu KWSP skopnya terlalu kecil. Saya agak kecewa dengan ahli-ahli politik kerana perbincangan tidak nampak isu sebenar yang harus diketengahkan. Hanya disebabkan kerajaan benarkan pengeluaran KWSP, semua termasuk pembangkang pun sokong.

“Ini adalah perkara yang tidak baik terutamanya untuk simpanan masa tua. Tapi kita tak boleh salahkan rakyat sebab rakyat dah tak ada pilihan lain,” katanya.

Ujar beliau, tiada unsur menang-menang yang boleh diperolehi sekiranya hanya melibatkan KWSP dan rakyat.



“Bila letak pilihan antara KWSP dan rakyat, kedua-duanya adalah ‘lost-lost situation’. Tiada ‘win-win’.

“Kerajaan sepatutnya masuk ke ekonomi dan tolong semua pihak dari segi rakyat, perniagaan dan ekonomi secara keseluruhan. Dalam keadaan krisis yang boleh berfungsi adalah kerajaan,” katanya. Sinar

KWSP, moratorium: BN telah cuba yang terbaik membawa harapan rakyat, kini terpulang kepada kerajaan


Sebaran :


One thought on “Isu KWSP timbul kerana rakyat sudah tidak ada duit

  • Mendengar hujah2 ahli2 panel yang dianggap pakar dalam bidang ekonomi, adalah kurang faham apakah mereka tidak tahu atau ambil tahu apa tindakan2 yang dilakukan oleh Kerajaan untuk membantu rakyat dan memulihkan sektor ekonomi? Adakah wang beratus bilion yang diagihkan oleh kerajaan itu untuk main2? Takkanlah kerajaan terdaya menghulurkan bantuan 5,6 ribu ringgit se bulan kepada setiap rakyat hinggakan Peerbendaharaan Negara kering? Bagaimana pula kerajaan hendak memulihkan sektor ekonomi yang tidak ada pelanggan apabila seluruh dunia sedang bergelut dengan pendemik yang sama? Sewajarnya mereka yang dikatakan pakar2 ini memberi cadangan2 dan syor yang boleh membantu kerajaan gunakan; Kalau setakat mencari kelemahan budak2 kampung pun punya lebih banyak modal.

    Reply

Leave a Reply