Apa yang kita tahu varian baharu COVID-19 yang ditemui di Britain?
Sepanjang minggu lalu, Britain melaporkan varian baharu COVID-19 dengan Perdana Menteri, Boris Johnson menyatakan ia mempunyai kadar jangkitan 70 peratus lebih tinggi.
Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock, menggambarkan jenis varian ini adalah di luar kawalan sehingga memaksa negara menguatkuasakan sekatan tegas bagi sambutan Krismas nanti bagi mengekang penularannya.
Beberapa negara yang semakin meningkat kes jangkitan dilaporkan bertindak balas dengan menguatkuasakan sekatan perjalanan dari Britain bagi mengelakkan varian baharu itu tersebar merentasi sempadan.
Baka jenis baharu itu muncul di Britain pada akhir November namun sehingga kini, pihak berkuasa masih masih menyiasat mengapa kadar jangkitan COVID-19 di Kent masih lagi tidak menurun di saat pihak berkuasa mengesan peningkatan penyebaran yang pantas membabitkan kluster di tenggara England dan London yang dikaitkan dengan varian COVID-19.
Agensi Kesihatan Awam England (PHE) menyatakan, pengesanan sebelum ini menggunakan bukti genetik menunjukkan varian pertama muncul pada September lalu.
Katanya, ia kemudian tersebar pada peringkat sangat rendah dalam populasi penduduk sehingga ia berubah pada pertengahan November lalu.
APAKAH BENTUK MUTASI VARIAN BAHARU INI?
Konsortium Genom COVID-19 United Kingdom (COG-UK) mendapati varian baharu ini mempunyai perubahan besar genetik yang luar biasa dan menemui tiga mutasi biologi secara siginfikan.
Kumpulan saintis di COG-UK dalam hipotesisnya menyatakan varian baharu ini mungkin berasal dari penularan virus oleh individu yang dijangkiti secara kronik.
Ini berdasarkan pemerhatian kadar mutasi yang tinggi terkumpul pada pesakit yang mengalami kerosakan sistem imun akibat jangkitan kronik COVID-19.
Pada masa sama, analisis dari COG-UK mendedahkan mengenai tiga mutasi yang signifikan secara biologi.
Semua mutasi itu terdapat pada rerambu protein yang dikaitkan dengan kemasukannya ke dalam sel dan ia relevan dalam konteks kekebalan dan keberkesanan vaksin.
Mutasi pertama dikenali sebagai N501Y, mengubah virus dengan bercantum dengan reseptor ACE-2 manusia untuk memasuki sel manusia.
COG-UK berkata, N501Y didapati bercantum antara virus dan reseptor manusia.
Mutasi kedua membabitkan penghapusan dua asid amino dan dikaitkan dengan kemampuan virus untuk menghindari tindak balas imun manusia.
Mutasi ketiga, yang dikenali P681H, terletak pada rerambu protein yang diketahui menjadi tempat yang memiliki kepentingan biologi.
PERLUKAH KITA BERASA BIMBANG?
PHE menjelaskan B.1.1.7 lebih mudah tersebar daripada jenis lain.
Kadar jangkitan di kawasan geografi di mana virus baharu ini berada, meningkat lebih cepat daripada yang dijangkakan.
Bukti pemodelan juga menunjukkan ia mempunyai kadar pemindahan lebih tinggi daripada varian lain yang terhasil ketika ini.
Namun, PHE mengatakan tidak ada bukti varian itu cenderung menyebabkan penyakit atau kematian yang teruk.
ADAKAH VIRUS COVID-19 YANG MENGALAMI MUTASI TERSEBAR SEBELUM INI?
COG-UK mendedahkan, ribuan mutasi terjadi pada virus COVID-19 sejak akhir 2019.
Mutasi dilaporkan berlaku secara semula jadi dalam genom COVID-19 sejak virus berkenan berada dan menular dalam populasi manusia.
Sebahagian mutasi ini pernah ditemui di Singapura. Sebagai contoh pada Ogos, Singapura mengesan varian COVID-19 yang menyebabkan simpton lebih ringan pada pesakit.
Pada bulan sama, jenis virus dengan mutasi D614G yang dikenal pasti lebih mudah menjangkiti namun kurang menyebabkan kematian yang turut dikesan di Singapura dan Malaysia.
PHE menjelaskan varian baharu COVID-19 yang dilaporkan dikesan di Britain sejak akhir bulan lalu, belum mempunyai bukti menyebabkan kematian dan jangkitan yang teruk.
Namun masih banyak maklumat yang belum dikenalpasti mengenai jenis virus ini yang dikenali sebagai keturunan, B.1.1.7.
Dipetik dan disesuaikan daripada artikel disiarkan Channel News Asia (CNA)
Varian koronavirus UK lebih mudah jangkiti kanak-kanak – Saintis