PM umum rakyat boleh rentas negeri dan melancong mulai esok

Rakyat Malaysia yang telah memiliki vaksin lengkap menerima berita gembira apabila kerajaan akhirnya membenarkan semula semua pergerakan rentas negeri bermula esok.

Pengumuman yang ditunggu-tunggu Keluarga Malaysia itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media khas pada petang tadi.

Katanya, dengan pengumuman itu juga, semua aktiviti dan lokasi pelancongan dibuka seperti biasa dengan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM bermula esok, Isnin, 11 Oktober 2021.

“Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya,” katanya dalam sidang media itu sebentar tadi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri turut mengingatkan kebenaran pergerakan rentas negeri itu hanya untuk rakyat Malaysia yang sudah lengkap dua dos vaksin.

“Walaupun tiada lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan.

“Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Namun, tegas beliau, kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tetap terikat dengan larangan keluar masuk ke kawasan tersebut.

“Kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

BOLEH KELUAR NEGARA Dalam pada itu, kata Ismail Sabri, kerajaan juga bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, walau bagaimanapun, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.

Katanya, kebenaran ini juga akan mula berkuat kuasa pada 11 Oktober 2021.

“Keputusan pemansuhan ini antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan.

“Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin,” katanya.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


‘Nak rentas negeri, lebih baik ada syarat’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker