Tiada pemotongan elektrik untuk pengguna tertunggak bil enam bulan

Kerajaan memutuskan untuk tidak memotong bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil kurang daripada enam bulan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia merupakan inisiatif prihatin oleh kerajaan yang memahami kesukaran dihadapi rakyat ketika pandemik Covid-19.

Katanya, arahan itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari hingga 31 Mac tahun depan dan ia akan memberi faedah kepada 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 500,000 pengguna domestik di Sabah.

“Inisiatif ini mendapat kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Saya percaya melalui inisiatif ini, sejumlah 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan lebih kurang 500,000 di Sabah akan menerima manfaat daripada inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di sini hari ini.

Shamsul Anuar menjelaskan, pengguna dalam kategori itu akan diberi kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran selama enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi pengguna lain yang tidak termasuk dalam kategori itu mereka boleh berunding dengan pihak TNB dan SESB untuk membuat bayaran secara ansuran bagi mengelakkan pemotongan bekalan elektrik.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar memberitahua, setakat 31 Oktober lalu, manfaat diskaun bil elektrik di bawah pakej PRIHATIN dan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) telah dinikmati oleh 7.66 juta pengguna kategori domestik di Semenanjung Malaysia dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.9 bilion.

Ujarnya, pengguna mendapat potongan secara one-off sehingga RM77 sebulan atau RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu bagi penggunaan elektrik dalam bulan April, Mei dan Jun 2020. MG

Jangan sampai tak bayar bil elektrik

Leave a Reply