Muda lantik Tommy Thomas, Ambiga untuk heret kerajaan ke mahkamah

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) melantik bekas peguam negara Tommy Thomas dan bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan untuk menangani isu pendaftaran parti pimpinan bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Parti itu kini mempertimbangkan tindakan undang-undang pada Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kerana masih tidak meluluskan pendaftaran mereka yang dimohon tiga bulan lalu.

Muda memberikan tempoh tujuh hari untuk kerajaan meluluskan pendaftaran parti mereka atau berdepan tindakan undang-undang.

“Proses pendaftaran Muda sebagai sebuah parti politik yang sah telah mula dibuat sejak 17 September 2020. Namun sehingga 21 Disember 2020, barisan Penaja Muda masih belum menerima apa-apa perkembangan terkini berkenaan pendaftaran Muda.



“Maka, pada 21 Disember 2020, Penaja Muda bersama 100 penyokong Muda hadir ke ROS untuk menyerahkan surat peguam untuk menuntut pendaftaran Muda sebagai sebuah parti politik yang sah diluluskan dengan kadar yang segera.

“Hak setiap warganegara untuk membentuk persatuan telah dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang kelewatan dari pihak ROS telah menafikan hak ini kepada Penaja dan Penyokong Muda,” katanya di Putrajaya, hari ini.

Pada 17 Sept lalu, bekas ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu mengemukakan permohonan pendaftaran parti Muda kepada ROS

Dia hadir ke ROS kira-kira jam 10.30 pagi bagi menghantar beberapa dokumen untuk pendaftaran parti baru itu.



Ditemui media selepas hadir ke ROS, Syed Saddiq berkata Muda boleh disertai pelbagai kaum di Malaysia dan tiada had umur ditetapkan.

“Parti ini akan dipimpin oleh anak muda daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya, sambil menambah Muda kini mempunyai 13 penaja.

Dalam pada itu Syed Saddiq berkata Muda tidak sesekali menuntut untuk diberi sebarang layanan istimewa dari pihak ROS.

“Kelewatan pendaftaran Muda tidak boleh diterima sama sekali terutamanya apabila semua komunikasi antara ROS dan Muda tidak pun diberi alasan-alasan untuk menolak atau melengah-lengahkan pendaftaran Muda.



“Sebagai perbandingan, pendaftaran Perikatan Nasional (PN) hanya mengambil masa selama 3 (tiga) hari sahaja di bawah kerajaan hari ini. Manakala, pada era kerajaan lama BN pendaftaran Bersatu mengambil masa selama 30 hari.

“Muda menyerahkan sepenuhnya isu pendaftaran parti ini kepada undang-undang negara dan mendesak pihak ROS untuk meluluskan dengan segera,” katanya. Mk

Pejuang heret ROS ke mahkamah



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker