Cara Menurunkan Kolesterol Dalam Darah (Tanpa Makan Ubat)

Semakin meningkat umur kita semakin kita terdedah kepada pelbagai penyakit terutamanya penyakit kolesterol tinggi yang berkaitan dengan kesihatan jantung. Bagi anda yang tertanya-tanya tentang cara menurunkan kolesterol badan, jangan risau kerana pada hari ini kami akan kongsikan dengan anda segala yang perlu anda ketahui tentang kolesterol.

 

Tanda kolesterol tinggi

Apa itu kolesterol? Bagi anda yang tidak mengetahui apa itu kolesterol kami menyediakan bahan rujukan untuk anda daripada Wikipedia tentang kolesterol.

Sebelum kita ke cara menurunkan kolesterol badan, kami ingin bertanya kepada anda, adakah terdapat tanda kolesterol tinggi yang boleh dikenal pasti?

Jadi bagaimana untuk mengetahui jika anda mengalami masalah kolesterol tinggi?

Secara umumnya, tidak terdapat simptom spesifik untuk membantu anda menyedari bahawa anda mungkin mengalami masalah kolesterol tinggi.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tanda kolesterol tinggi yang boleh dikesan jika anda sememangnya menghidapi masalah kolesterol tinggi, seperti:

 

Sakit pada bahagian leher

Walaupun rasa sakit ini boleh disebabkan oleh banyak perkara, seperti sakit otot dan saraf. Namun rasa sakit ini sering dialami oleh individu yang mempunyai masalah kolesterol tinggi.

Ini dikaitkan dengan pembentukan plak pada saluran darah di kawasan leher. Pembentukan plak boleh menyekat aliran darah di leher dan kepala ke otak.

 

Mudah berasa letih dan sakit pada bahagian kaki

Plak pada saluran darah yang muncul kerana paras kolesterol tinggi dalam darah boleh menyebabkan aliran darah berkurangan ke tisu badan.

Inilah yang akhirnya menjadikan penghidap kolesterol tinggi lebih mudah merasa letih. Di samping itu, sekiranya pembentukan plak ini berlaku dalam urat di kaki, maka bahagian kaki tersebut akan berasa berat, kesakitan dan rasa pedih seperti terbakar.

 

Sakit pada bahagian dada

Apabila tahap kolesterol terlalu tinggi, pembentukan plak juga boleh berlaku di dalam saluran darah jantung. Keadaan ini boleh mengganggu dan menghalang aliran darah ke jantung.

Kesakitan yang dialami pada bahagian ini merupakan antara kesakitan biasa yang dialami oleh individu dengan kolesterol tinggi.

Lebih malang lagi, jika masalah saluran yang tersumbat adalah kritikal, ia cenderung meningkatkan risiko untuk mengalami masalah serangan jantung.

 

Cara menurunkan kolesterol dalam darah

Jadi sekarang kami akan berkongsi tentang cara menurunkan kolesterol badan anda sekiranya anda mempunyai kolesterol yang tinggi.

Kita semua sedar bahawa kolesterol yang tinggi dalam badan adalah satu keadaan yang tidak baik kepada kesihatan secara menyeluruh.

Jadi bagaimana caranya untuk menurunkan dan mengawal kolesterol dalam badan?

 

Penjagaan aspek pemakanan

Masalah kolesterol tinggi sering berlaku disebabkan pemakanan, maka cara paling utama untuk menurunkan kolesterol adalah dengan memberikan perhatian dalam penjagaan dan pengambilan diet pemakanan harian anda.

Anda perlu mengawal apa yang akan anda masukkan ke dalam mulut anda. Mungkin anda perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan pengambilan makanan tinggi lemak haiwan dan kolesterol seperti:

  • Daging merah seperti lembu dan kambing
  • Susu penuh lemak (full cream) dan yogurt
  • Organ dalaman seperti hati, limpa, paru-paru atau otak
  • Kuning telur serta produk berasaskannya seperti kek dan biskut
  • Mentega, keju dan minyak kelapa sawit

Manakala anda perlu lebihkan makanan seperti:

  • Buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Bijirin oat dan barli
  • Tauhu
  • Kekacang tanpa garam seperti  pistachio, badam, walnut atau gajus
  • Soya sebagai alternatif kepada susu dan yogurt
  • Ikan tinggi asid lemak omega-3 seperti salmon, makarel, sardin atau tuna

 

Cara penyediaan makanan

Selain mengurangkan makanan tinggi kolesterol secara langsung, anda juga boleh tukar cara penyediaan. Antara yang boleh dilakukan adalah:

  • Buang kulit dan lemak yang ada pada ayam atau daging sebelum memasak
  • Utamakan kaedah masak lebih sihat seperti merebus dan mengukus
  • Gunakan minyak sayur-sayuran berbanding minyak kelapa sawit untuk memasak
  • Kurangkan penggunaan minyak. Penggunaan kuali tidak melekat (non-stick pan) juga membantu

 

Berhenti merokok

Asap rokok yang masuk ke dalam badan mampu merosakkan saluran darah, menjadikan ia sempit dan meningkatkan kecenderungan berlaku darah beku. Ia juga membuatkan kadar kolesterol jahat LDL bertambah serta menurunkan bacaan kolesterol baik HDL. Malahan ia juga meningkatkan risiko penyakit seperti kanser paru-paru.

Berhenti merokok bukanlah mudah lebih-lebih lagi jika dilakukan sendirian. Oleh itu, dapatkan bantuan daripada ahli profesional di pusat-pusat kesihatan.

 

Bersenam dan aktiviti fizikal

Secara mudah, senaman dan aktiviti fizikal membantu meningkatkan kadar kolesterol baik HDL serta mengurangkan kadar kolesterol jahat LDL. HDL berperanan membersihkan tubuh anda daripada kolesterol bahaya serta menyelenggara kerosakan yang ada pada saluran darah.

Tambahan pula, ia datang dengan banyak manfaat lain seperti mengurangkan stres serta merendahkan risiko diabetes dan penyakit jantung.

 

Mengurangkan berat badan

Sememangnya mempunyai berat badan yang berlebihan tidak bermakna anda mempunyai masalah kolesterol tinggi. Ini kerana terdapat juga individu yang mempunyai masalah kolesterol tinggi mempunyai jumlah berat badan yang normal.

Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai masalah berat yang berlebihan, menurunkannya adalah langkah yang bijak dan penting.

Lemak di dalam badan adalah satu komponen yang aktif secara metabolik, iaitu ia boleh mengganggu proses metabolisma seperti mengurangkan kesan insulin ke atas sel dan merembeskan faktor-faktor yang meningkatkan risiko kepada penyakit kardiovaskular.

Sekiranya anda telah berjaya menurunkan tahap kolesterol anda dan anda berazam untuk menjadi lebih sihat dengan cara menurunkan berat badan, kami juga telah menyediakan panduan ringkas dan mudah untuk rujukan anda.

 

Jika anda masih ragu-ragu anda boleh berjumpa doktor pakar

Jika anda mempunyai masalah kolesterol tinggi, adalah penting untuk anda cuba mengawal dan menurunkan paras kolesterol tersebut. Anda boleh mencuba cara yang disenaraikan di atas.

Tetapi sekiranya ia masih tidak mampu membantu anda mengurangkan masalah kolestrol yang dihadapi, anda dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan dengan doktor bagi mendapatkan bantuan dan cara yang terbaik untuk menangani masalah kolesterol ini.

 

Akhir kalam 

Semoga perkongsian ini dapat sedikit sebanyak membantu anda memahami tentang kolesterol dengan lebih baik.

Ingatlah bahawa kesihatan kita amatlah penting dan kesihatan merupakan anugerah dari tuhan.

Jadi janganlah sia-siakan anugerah yang diberi, sebaliknya jagalah dan peliharalah untuk diri sendiri dan untuk keluarga.

Semoga bermanfaat.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker