9 maut letupan bom kereta sasar Ahli Parlimen Afghanistan

Letupan berasingan juga berlaku di wilayah Logar, Nangarhar, Helmand

KABUL, 5 Jamadilawal 1442H, Ahad – Sekurang-kurangnya sembilan orang maut dalam letupan bom kereta yang menyasarkan seorang Ahli Parlimen Afghanistan.

Menteri Dalam Negeri, Massoud Andarabi berkata, Anggota Parlimen itu – Khan Mohammad Wardak – bersama 20 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak cedera dalam letupan berkenaan.

“Tidak jelas sama ada bahan letupan itu diletakkan di dalam kereta yang diparkir di laluan pembuat undang-undang berkenaan atau kenderaan dengan bom dipandu oleh pengebom,” katanya.

Bagaimanapun setakat ini tidak ada yang mengaku bertanggungjawab atas letupan itu.

Afghanistan telah menyaksikan peningkatan keganasan, terutama pengeboman, dalam beberapa minggu lalu, ketika kerajaan dan Taliban mengadakan rundingan untuk mengakhiri perang selama hampir 20 tahun di negara itu.

Letupan berasingan juga dilaporkan hari ini di wilayah Logar, Nangarhar, Helmand dan Badakhshan, yang mana sejumlah orang awam dan anggota pasukan keselamatan terbunuh dan cedera.

Jumaat lalu, letupan bom yang disyaki sebuah beca mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang awam, termasuk 11 kanak-kanak, di tengah wilayah Ghazni.

Kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan berkata, Taliban telah membunuh 487 orang awam dan mencederakan 1,049 yang lain dengan melakukan 35 serangan bunuh diri dan 507 letupan di seluruh negara selama tiga bulan belakangan ini. – Agensi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker