Ruang ‘rahsia’ selamatkan barang penting daripada banjir

GUA MUSANG: Kedudukan rumah hanya sejauh 10 meter dari tebing Sungai Galas menyebabkan seorang wanita warga emas di Kampung Limau Kasturi, di sini lali dengan banjir namun sentiasa bersiap sedia menghadapi bencana itu.

Aishah Hussin, 81, dikatakan berdepan sekurang-kurangnya 52 kali banjir besar sepanjang hidupnya.

Pengalaman terburuk wanita itu pula ialah bencana bah kuning pada tahun 2014 apabila rumahnya 100 peratus ditenggelami air banjir.



Menurut Aishah, apabila melihat keadaan paras air Sungai Galas semakin meningkat, dia bersama anak perempuan sulung, Azizah Ismail, 43, menantu, Sham Othman, 55, dan tiga cucu akan mula berkemas.

Antaranya, memindahkan semua barangan penting seperti pakaian, tilam, bantal dan dokumen penting ke ruangan loteng yang dibina khas oleh menantunya di bahagian bumbung rumah mereka.

“Ruangan loteng inilah penyelamat barangan penting kami setiap kali berlakunya banjir di kampung ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Aishah berkata, rumahnya sentiasa menjadi antara yang terawal dinaiki air di kampung itu kerana paling hampir dengan sungai.



Ketika bah kuning 2014, dia tidak sempat menyelamatkan diri dan terperangkap dalam rumah sebelum diselamatkan oleh menantu dan cucunya.

“Hari ini, air Sungai Galas mulai naik pukul lapan pagi selepas hujan berterusan. Air sungai naik sampai melimpahi jalan kampung ini.

“Barang-barang penting semua sudah disimpan. Segala barang keperluan sudah dikemas. Kami sudah bersiap sedia untuk pindah pada bila-bila masa,” katanya



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker