Pesakit kanser maut dipercayai terjun bangunan HTAA – Polis
KUANTAN: Seorang pesakit kanser ditemukan maut berhampiran lobi utama Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini, dipercayai akibat terjun daripada tingkat empat bangunan hospital tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pesakit berusia 55 tahun yang ditemukan pada 2.25 pagi dalam keadaan meniarap dan berlumuran darah, difahamkan menjalani rawatan di HTAA sejak Rabu lalu.
“Isteri si mati mendakwa suaminya menghidap kanser tiroid tahap empat sejak setahun lalu dan sering ke HTAA bagi menjalani rawatan kemoterapi. Si mati juga difahamkan ada mengadu sakit kepala yang teruk sejak beberapa hari lalu.
“Setakat ini, kita percaya si mati terjun daripada bangunan hospital berdasarkan kepada penemuan dahan dan ranting patah yang melekat di badannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohamad Noor berkata mayat si mati yang berasal dari Sri Jaya, Maran dekat sini, dihantar ke Jabatan Forensik HTAA untuk bedah siasat.
— BERNAMA
You must be logged in to post a comment.