Mengenang Tun Rahah: Insan Ini Seorang Penyayang, Prihatin Dan Tabah – Hishammuddin
KUALA LUMPUR, 18 Dis — Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga anak saudara kepada Tun Rahah Mohamed Noah menyifatkan ibu saudaranya itu seorang ibu yang penyayang, prihatin, baik hati dan tabah.
Mengimbau kenangan bersama wanita berkenaan, Menteri Luar itu berkata beliau sangat rapat dengan Rahah dan pernah membesar di bawah penjagaan Allahyarhamah yang meninggal dunia hari ini.
“Ketika Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia, Tun Rahah baru berusia 43 tahun. Saya kagum dengan kecekalan beliau membesarkan lima anak lelaki yang juga sepupu saya sendiri.
Hishammuddin menzahirkan kesedihannya yang disifatkan sama seperti keadaan ketika beliau kehilangan ibunya Tun Suhailah Mohamed Noah yang merupakan kakak kepada Rahah enam tahun lepas.
Beliau juga menzahirkan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sepupu-sepupunya iaitu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Pengerusi CIMB Datuk Seri Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam dan Datuk Mohamed Nazim.
Agong, Permaisuri Zahir Ucapan Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Tun Rahah
“Ya Allah, Ya Tuhanku, Yang Maha Penyayang Lagi Maha Pengampun, ampunilah dosa ibu saudaraku ini, terimalah setiap amal kebaikannya dan tempatkanlah ibu saudaraku ini bersama para hambaMu yang diredai,” doanya.
Sementara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menzahirkan takziah atas pemergian Allahyarhamah Rahah serta mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Beberapa pemimpin parti politik antaranya Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mendoakan seluruh keluarga Allahyarhamah diberi kekuatan menempuh ujian kehilangan insan tersayang.
“Saya dan keluarga besar UMNO ingin merakamkan jutaan takziah kepada Najib atas pemergian bonda yang dikasihi. Semoga Allahyarhamah ditempatkan bersama para kekasih-Nya dan diberi sebaik-baik balasan dengan limpahan keredaan,” kata Ahmad Zahid.
Turut berdukacita, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan takziah kepada seluruh keluarga Najib sekeluarga serta mendoakan roh Allahyarhamah dicucuri rahmat.
Naib Presiden Parti Amanah Negara Datuk Mahfuz Omar mewakili parti itu menitipkan doa kepada Allahyarhamah.
“Semoga Allah merahmati rohnya, memuliakan kematiannya, menerima segala amalan kebaikannya, mengampuninya, menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” doa Mahfuz.
Dalam pada itu laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter juga dibanjiri ucapan takziah oleh rakyat Malaysia kepada seluruh keluarga Allahyarhamah.
— BERNAMA
You must be logged in to post a comment.