Pemimpin Zahir Takziah Di Laman Sosial Pemergian Allahyarham Tun Rahah
Laman sosial Twitter dan Facebook dibanjiri ucapan takziah daripada pemimpin-pemimpin negara serta politik susulan pemergian balu kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohamed Noah yang dilaporkan meninggal dunia sekitar jam 4.30 petang, Jumaat.
Allahyarham Tun Rahah, 87, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.
Perkara itu disahkan oleh putera sulung Allahyarhamah, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun Twitter rasminya pada petang Jumaat.
Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebook berkata beliau turut bersedih dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Sementara itu dalam ucapan berasingan di Twitter, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin terawal menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan berita pemergian Allahyarham.
Menteri Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara yang terawal menzahir ucapan takziah di laman Twitter berkata, beliau berdukacita atas pemergian Allahyarham.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi di Twitter berkata, beliau turut berduka atas pemergian Allahyarhamah dan mengharapkan agar Najib sekeluarga tabah dalam menghadapi saat getir ini.
Allahyarham dijangka akan dikebumikan Sabtu selepas Zohor di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Urusan solat jenazah akan dijalankan di Masjid Ar-Rahah, Kerinchi, Bangsar.