Kerusi PRU-15: UMNO tak akan runding terus dengan PAS, tetapi menerusi PN, kata Asyraf

Sebaran :

UMNO tidak akan berunding secara terus dengan PAS soal pengagihan kerusi untuk pilihan raya umum ke-15, sebaliknya akan menggunakan platform Perikatan Nasional untuk berbuat demikian.

Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajidi Dusuki, berkata tindakan UMNO itu langkah wajar memandangkan PAS parti komponen PN.

“Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan UMNO dengan PAS tetapi BN dengan PN kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya,” katanya dalam kenyataan.

Asyraf bagaimanapun tidak menyentuh kedudukan Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai PAS, UMNO, dan PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin.

Beliau juga berkata kerjasama UMNO-Barisan Nasional dengan parti komponen PN bagi menghadapi PRU-15 bergantung kepada bagaimana persefahaman isu pengagihan kerusi diselesaikan.

Kenyataan Asyraf menyusul keputusan ketua parti dalam kerajaan PN bersetuju menubuhkan Majlis Presiden malam tadi.

Beliau mengulangi pendirian sebelum ini UMNO-BN bukan sebahagian daripada gabungan PN tetapi hanya menyertai kerajaan yang diterajui gabungan itu.

Katanya, persetujuan menyertai Majlis Presiden bukanlah bermaksud UMNO dan BN kini mengubah pendiriannya dengan parti komponen PN.

“Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi BN membuat keputusan jelas bahawa kita mendukung kerajaan PN sehingga PRU ke-15 dan tidak sesekali bersetuju menyertai PN sebagai salah satu parti komponen,” katanya.

Asyraf berkata, penubuhan majlis presiden itu memang dicadangkan sendiri oleh UMNO sejak awal lagi, iaitu ketika pembentukan kerajaan PN pada Mac lalu.

“Tujuannya untuk memastikan apa jua dasar-dasar penting negara dibincangkan terlebih dahulu dengan rakan-rakan kongsi yang terdiri daripada parti-parti politik yang bersepakat membentuk kerajaan ini.

Katanya, penubuhan Majlis Presiden PN juga mampu mengelakkan perbezaan dan pertelingkahan pandangan terhadap dasar-dasar penting yang diperkenalkan kerajaan.

“Seperti inisiatif mahukan pengisytiharan darurat yang tidak dirujuk kepada UMNO hingga mencetuskan pergeseran di kalangan parti-parti dalam kerajaan PN,

“Juga Majlis Presiden Kerajaan PN boleh dijadikan platform untuk Presiden parti-parti yang mendokong kerajaan PN menyuarakan pendirian parti secara rasmi untuk diambil kira dan diambil tindakan oleh kerajaan PN, ”katanya.

Semua parti dalam kerajaan PN bersetuju sebulat suara menubuhkan Majlis Presiden bagi mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan dan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri Muhyiddin berkata susulan penubuhan Majlis Presiden itu yang akan dianggotai ketua parti berkenaan, langkah-langkah juga akan diambil ke arah penggubalan sebuah piagam antara parti. FMT

Ku Li kena runding dengan Takiyuddin bawa usul tidak percaya PM, kata Azhar


Sebaran :

Leave a Reply