Kerajaan pantau proganda antivaksin, elak pengaruh fikiran rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan memantau rapi gerakan kumpulan tertentu yang menyebarkan proganda negatif berkenaan vaksin Covid-19 menerusi media sosial untuk mengelakkan mereka mempengaruhi fikiran rakyat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ahmad Amzad Hashim berkata, kementerian dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang mengkaji keperluan untuk mewujudkan undang-undang tertentu bagi membendung perkara itu.

“Kerajaan sebelum ini telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan menerusinya sebuah Jawatankuasa Kecil Komunikasi dibentuk bagi merangka pelan komunikasi strategik untuk menyampaikan fakta dan maklumat tepat tentang vaksin Covid-19 kepada rakyat.

“Jawatankuasa ini juga mengenal pasti beberapa kategori tahap kepercayaan rakyat terhadap vaksin Cobvid-19, termasuk kumpulan minoriti antivaksin dan kumpulan ini sukar untuk diubah pendirian mereka,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Muhammad Zahid Md Arip tentang tindakan kerajaan untuk menangani propaganda antivaksin dan langkah mendidik masyarakat berkenaan kepentingan mengambil vaksin Covid-19.

Kategori kedua pula, katanya, adalah kumpulan masyarakat yang yakin tentang pentingnya vaksin dan tidak mudah terjejas dengan propaganda antivaksin, yang merupakan kumpulan terbesar dalam negara ini.

Sementara kategori ketiga adalah kumpulan yang berada di tengah-tengah iaitu kumpulan “vaccine hesitancy group” yang mempunyai keraguan terhadap vaksin terutama vaksin Covid-19, tetapi tidak menolak vaksin secara langsung.

Amzad berkata, kumpulan berkenaan lebih mudah terpengaruh apabila terdedah kepada mesej dan propaganda daripada golongan antivaksin.

“Justeru, strategi komunikasi proaktif, melalui penggunaan pelbagai platform dan medium komunikasi sedang giat dilaksanakan kerajaan bagi memberi penerangan jelas kepada rakyat berkaitan kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 yang dijangka diperoleh negara pada suku pertama tahun hadapan.

“Bagi memastikan penyampaian maklumat ini dibuat secara menyeluruh, pelan komunikasi yang dirangka ini turut melibatkan pelbagai kumpulan masyarakat seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agamawan, ketua komuniti serta pihak swasta,” katanya.

Beliau berkata, ia termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memberi penerangan berkaitan vaksin dari sudut pandangan hukum-hakam syarak termasuk isu halal yang menjadi perhatian utama orang Islam di negara ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker