Sukar untuk ‘seorang UMNO’ menyokong DAP – Ahmad Maslan
SEORANG ahli UMNO yang tegar termasuk pemimpin utamanya tidak mungkin akan menyokong untuk bersama-sama DAP dalam satu perjuangan secara bersama-sama.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perjuangan DAP sangat berbeza dengan matlamat UMNO.
Justeru menurut beliau, sukar untuk dirinya atau mana-mana ahli dan pemimpin lain untuk bersama-sama DAP dalam satu perjuangan.
Ahmad juga menegaskan beliau tidak pernah melakukan perbincangan dengan mana-mana pemimpin parti tersebut.
“Macam-macam ada dalam media sosial. Perjuangan DAP berbeza dengan perjuangan UMNO dalam banyak perkara
“Sukar untuk seorang UMNO untuk menyokong DAP termasuk saya dan begitu juga pimpinan utama serta ahli UMNO yang lain
“Saya tentunya tidak pernah berbincang untuk itu jauh sekali untuk bersama mereka,” ciap Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian di Twitternya.
Semalam media melaporkan Ahli Parlimen UMNO (Ketereh) Tan Sri Annuar Musa berkata, wujud cubaan dan konspirasi pihak tertentu untuk mengubah pendirian Barisan Nasional (BN) menolak Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti DAP.
Setiausaha Agung BN itu menyatakan, konspirasi menggagalkan dasar ‘no Anwar no DAP’ sedang berjalan dengan menggunakan Akuan Bersumpah (SD).
“SD cuba dikutip, pujuk rayu berterusan, punca kemarahan kepada kerajaan cuba direka, nama istana dan kerabat turut di guna.
“Liciknya pihak yang kempunan kuasa, yang berharap mengambil alih kuasa amat bijak mengatur strategi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Annuar menjelaskan dalang konspirasi itu berpura-pura meletak DAP di saf belakang supaya mereka mudah memperdaya kelompok yang menolak Anwar dan DAP itu.
Katanya, watak itu telah sekian lama menghantui politik negara dan mereka mungkin tidak sedar bahawa gerakan itu sudah diketahui.
“Kini dasar ini cuba ditebuk perlahan-lahan. Jarum DAP menusuk halus untuk menghancurkan pakatan ‘no Anwar, no DAP.
“Umpan yang ditawarkan adalah umpan yang mereka tahu pasti ditelan jerung besar,” katanya.
Menurut Annuar, dasar parti ‘no Anwar no DAP’ diputuskan bersama berkali-kali di semua peringkat parti.
“Dasar itu jugalah yang dikongsi bersama dengan parti yang sealiran yang membawa kejayaan menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) dan menamatkan dominasi DAP di Putrajaya,” katanya. SM