Kerajaan cadang tambah pembelian vaksin hingga 70% keperluan imunisasi rakyat, kata Muhyiddin

Kerajaan bercadang menambah pembelian vaksin Covid-19 agar dapat menampung keperluan imunisasi hingga 70% rakyat berbanding kuantiti asal sebanyak 30%, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ini kerana ada negara yang sudah membeli vaksin itu dengan sesetengahnya memperoleh kuantiti yang banyak melebihi jumlah penduduk mereka sendiri.

“Untuk keperluan Malaysia, kita sudah dapat 30%. Saya sudah arahkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bersama (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) Khairy Jamaluddin untuk berunding supaya dapat tambah daripada 30% peratus kepada 60 ataupun 70%.

“Ini dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia setakat hari ini… kalau dapat ditingkatkan ke jumlah itu, maka lebih terjamin rakyat kita daripada virus Covid-19,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Deepavali 2020 Dewan Undangan Negeri Gambir, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir berkata, beliau meminta pembekal menghantar vaksin tersebut secepat mungkin dan Malaysia dijangka menerima bekalan pada Mac tahun depan.

“Berkesan tak berkesan, jangan sampai rakyat marah perdana menteri (sebab tidak beli)… orang lain sudah beli, saya pun beli juga… cepat-cepat kita beli.. (vaksin) akan sampai bulan tiga tahun depan,” katanya.

Pada 24 Nov lalu, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20% atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Dua hari sebelum itu, Malaysia memeterai perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk memperoleh bekalan vaksin tersebut bagi menampung keperluan imunisasi 10% lagi rakyat negara ini.

Sementara itu, perdana menteri mengarahkan agar hospital sementara merawat Covid-19 dibuka semula berikutan peningkatan secara berterusan kes baharu di beberapa negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

“Ini bermakna walaupun langkah yang kerajaan ambil agak berkesan dari satu sudut, kalau dibandingkan dengan negara-negara lain kita belum dapat mengatasinya.

“Kita belum berjaya melandaikan lekuk Covid-19,” katanya, menambah perkara itu dijangka mengambil masa yang lama.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata sejak hari pertama menjadi perdana menteri, beliau belum lagi dapat berehat memandangkan negara masih dalam ancaman.

“Selagi rakyat kita terancam dan diancam dengan penyakit Covid-19, saya tidak akan berehat. Saya akan bekerja… menguruskan Covid-19, menguruskan ekonomi negara,” kata Muhyiddin.

Sementara itu, perdana menteri berkata kerajaan sedang menjalankan satu kajian menyeluruh mengenai peratusan sebenar rakyat yang jatuh ke paras garis kemiskinan akibat Covid-19.

“Sekarang ini paras garis kemiskinan sudah naik kepada RM2,208 per kapita. Bila sudah naik, lebih ramai rakyat kita yang tergolong dalam kumpulan B40 itu, golongan yang agak miskin dan miskin tegar.

“Bila Covid-19 berlaku, ramai orang yang tidak bekerja, tidak boleh berniaga, buka warung pun tak boleh, pendapatan merosot… syarikat tidak ambil lagi pekerja,” katanya. Bernama

Tiga cara kerajaan bantu KWSP tambah pendapatan – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker