Ditanya logo PRU15, Hadi jawab buka payung bila hujan

PAS belum membuat keputusan sama ada akan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) atau tidak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, perkara itu akan ditentukan bila tiba PRU15 nanti.

“Bila hujan turun baru kita buka payung. Kita (PAS) akan bertanding dan masih bertanding,” kata Hadi ketika ditanya mengenai sama ada parti itu akan bertanding menggunakan logo PN dalam PRU15 nanti.

Hadi berkata demikian ketika sesi dialog bersama presiden PAS di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.



Hadi turut ditanya mengenai agihan kerusi membabitkan PAS dengan rakan politiknya.

“Lihat kepada perbincangan kita dengan rakan-rakan dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN,” kata Hadi lagi.

Sebelum ini, PAS dan Umno telah menubuhkan Muafakat Nasional (MN) sebagai jalinan kerjasama politik bertujuan menghadapi PRU15.

Bagaimanapun pada Mac lalu, PAS dan Umno bekerjasama dengan Bersatu, GPS dan parti-parti dari Sabah bagi membentuk kerajaan PN.



Setelah menjadi sebahagian kerajaan PN, PAS memutuskan untuk berada di bawah gabungan PN bersama dengan Bersatu.

Umno bagaimanapun tidak menyertai PN dan kekal dengan BN serta MN.

Sementara itu, Hadi menyambut baik cadangan supaya gabungan besar ditubuhkan bagi menghadapi PRU15.

“Ia satu cadangan yang positif. Sehingga kini kita dapati majoriti kepimpinan bersetuju dengan cadangan itu.



“Cuma bagi merealisasikannya perlu masa sedikit. Apa lagi kita belum tahu bila PRU15,” katanya kepada media.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin mencadangkan agar PN, BN dan GRS bergabung di bawah satu gagasan besar untuk memastikan kemenangan pada PRU15. Mk

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker