Apakah gabungan besar dimaksudkan Hamzah?

Sebaran :

Cadangan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya satu gagasan besar dalam kalangan parti politik ditubuhkan terus menjadi persoalan segelintir pihak.

Parti-parti politik yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Larut itu ialah gabungan bersama antara Gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Timbul persoalan apakah sebenarnya yang sedang dilakukan oleh segelintir pemimpin politik ini terus kekal berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15.


Bercakap kepada MalaysiaGazette, Profesor Emiretus Datuk Sulaiman Yassin melontarkan apa sebenarnya ‘gabungan besar-besaran’ dimaksudkan oleh Hamzah.

Jelasnya, agenda yang dicuba dibuat akan terus mengaburi rakyat akan tujuan sebenar pemimpin politik kerajaan.

“Adakah untuk memantapkan demokrasi ala-Malaysia? Apakah perjuangan sebenar kepimpinan politik Melayu Malaysia? Kemanakah hendak dibawa negara selepas lebih 60 tahun merdeka?

“Sudah ada Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Muafakat Nasional (MN) dan Barisan Nasional (BN).

“Nampaknya MN and BN sudah mempunyai sub-gabungan di peringkat Melayu-Islam (UMNO dan Pas) dan di peringkat pelbagai-kaum Malaysia (UMNO, MCA, MIC) juga lain-lain.

“Kini sebuah pihak di atas telah memanifestasikan gabungan besaran di bawah PN.

“Apa lagi besar-besaran yang perlu? Jemput penyertaan DAP pula? Dan jemput PKR juga?” soalnya.

Sulaiman mengulas cadangan Hamzah yang mendakwa dengan termeterainya piagam itu, rakyat akan lebih yakin gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh di negara ini.

Dakwa Hamzah, ia dapat mencerminkan keupayaan gagasan itu untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat pada masa hadapan.

Jelas Sulaiman lagi, ketika ini kaum Cina dan India tidak diwakili sewajarnya dalam PN.

“Berapa kerusikah telah MCA dan MIC menang? Sokongan kaum Cina telah dengan kukuhnya diperolehi oleh DAP dan PKR begitu juga undi masyarakat India.

“Jadi, sebagai percubaan baru adakah gabungan besar-besaran itu akan melibatkan PPBM (Bersatu), UMNO, Pas, DAP, PKR termasuk MCA dan MIC?

“Pas tentu sekali tidak mahu Amanah (PAN) menyertai percubaan baru ini. Ada juga puak di dalam Pas dan Bersatu yang tidak gemar PKR bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim serta puaknya untuk sertai cadangan gabungan baharu ini.

“Juga ada dalam DAP yang tak bersetuju untuk bekerja dengan MCA dan di sebaliknya. Jadi apakah gabungan besar-besaran yang dimaksudkan Hamzah? Saya sendiri kurang faham,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Sulaiman tertanya-tanya juga seandainya Bersatu tampil memberi idea gabungan besar-besaran itu ada kaitan dengan rasa terancam yang amat sangat. MG

Apa sebenarnya ‘Peranan’ Umno dalam majlis presiden PN?


Sebaran :

Leave a Reply